BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan menerima mengadap The Master of the Rolls, United Kingdom (UK), Sir Geoffrey Vos.
Semasa majlis mengadap di Istana Nurul Iman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Sir
Geoffrey Vos antara lainnya membincangkan mengenai perkara-perkara bagi mengukuhkan lagi kerjasama yang telah lama terjalin dalam sektor undang-undang antara Negara Brunei Darussalam dan UK serta perkembangan terkini sektor tersebut.
Menyertai bersama Sir Geoffrey Vos ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Catherine Pochkhanavala-Cleeve.
Juga hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon dan Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu.
Sir Geoffrey Vos dan isteri berada di negara ini bagi mengadakan lawatan kerja selama lima hari ke sektor-sektor perundangan Negara Brunei Darussalam mulai 17 hingga 22 September ini.