Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah daripada 1,035 orang bakal jemaah Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1444H/2023M, terdiri daripada 485 orang lelaki dan 550 orang perempuan.
Jumlah tersebut adalah termasuk pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Pentadbiran dan Perubatan) dan pegawai pengiring syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan pakej haji.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Sebelum Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah di Istana Nurul Iman, bakal jemaah haji negara telah menunaikan Sembahyang Fardu Zohor berjemaah dan menikmati jamuan tengah hari.
Pada majlis itu, bakal jemaah haji negara telah menerima kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia berupa pakaian ihram bagi jemaah haji lelaki dan telekung bagi jemaah haji perempuan.
Bagi musim haji tahun ini terdapat lima buah syarikat pengendali perkhidmatan pakej haji iaitu Darussalam Services Sdn Bhd, Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd, Al-Hijrah Travel & Tours Sdn Bhd, At-Taqwa Travel Tours Sdn Bhd dan Titian Travel & Tours Sdn Bhd.
Penerbangan bakal jemaah haji negara akan bermula pada 4 Jun pukul 9:10 pagi.