Thursday, February 13, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan terima mengadap Jeneral Indonesia, TPM Singapura

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) kelmarin berkenan menerima mengadap Komandan Jeneral Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS), Tentara Nasional Indonesia –Angkatan Darat (TNI-AD), Yang Terhormat Mayor Jenderal T.N.I Madsuni di Istana Nurul Iman.

    Menyertai sama Yang Terhormat Mayor Jenderal TNI Madsuni pada majlis tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nurul Omar dan Asisten Operasi Danjen, TNI-AD, Kolonel Inf Lucky Avianto.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertahanan Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Kapten (B) Dato Paduka Abd Rahman bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

    Negara Brunei Darussalam dan Indonesia mempunyai hubungan pertahanan rapat dan sudah lama terjalin, yang berkembang pesat dengan kerjasama dalam bentuk lawatan, eksesais, latihan, pertukaran profesional, dan kehadiran kursus. Tambahan pula, kedua-dua Rejimen Pasukan Khas ABDB dan KOPASSUS berinteraksi menerusi pelaksanaan Eksesais PETIR SAKTI, yang sedang dijalankan pada 26 Oktober 2017 hingga 8 November 2017.

    Pada sebelah petangnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut berkenan menerima mengadap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Teo Chee Hean, di Istana Nurul Iman.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima mengadap Yang Terhormat Mayor Jenderal T.N.I Madsuni.
    Baginda Sultan berkenan menerima mengadap TYT Teo Chee Hean.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima mengadap isteri Timbalan Perdana Menteri Republik Singapura, Chew Poh Yim.

    Semasa majlis mengadap tersebut, Baginda Sultan dan TYT Teo Chee Hean berbincang mengenai isu-isu dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura serta bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal serantau dan antarabangsa.

    Menyertai TYT Teo Chee Hean ialah Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Republik Singapura, PYT Grace Fu Hai Yien; Menteri Pendidikan dan Menteri Pengangkutan Kedua, TYT Dato Paduka Seri Ng Chee Meng; Menteri Pendidikan dan Menteri Pertahanan Kedua TYT Ong Ye Kung; Menteri Kanan Negara bagi Komunikasi dan Penerangan dan Menteri Kanan Negara bagi Pendidikan, TYT Dr Janil Puthucheary; Menteri Kanan Negara bagi Perdagangan dan Industri dan Menteri Kanan Negara bagi Pembangunan Negara, TYT Dr Koh Poh Koon; Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pendidikan dan Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pembangunan Sosial dan Keluarga, Prof. Madya Muhammad Faishal Ibrahim dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, TYT Lim Hong Huai.

    TYT Teo Chee Hean berada di negara ini selaku ketua delegasi Republik Singapura bagi lawatan kerja Program Pemimpin Belia Singapura yang diadakan di negara ini pada 3 hingga 5 November.

    Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Menteri di JPM dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu ALailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Awang Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud.

    Sementara itu, di ruang lain Istana Nurul Iman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima mengadap Chew Poh Yim, isteri kepada Timbalan Perdana Menteri Republik Singapura.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda