Sabtu, 22 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan terima mengadap Ketua Hakim Negara Malaysia

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam petang tadi berkenan menerima mengadap Ketua Hakim Negara Malaysia, Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat yang berada di negara ini dari 5 hingga 8 Mac.

    Semasa majlis mengadap di Istana Nurul Iman tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara Malaysia telah berbincang mengenai perancangan dalam kerjasama kehakiman antara kedua-dua buah negara, termasuk pengalaman penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

    Yang Amat Arif berada di negara ini atas jemputan Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam untuk membuat kunjungan balas lawatan kerja ke negara ini dan seterusnya mengadakan perjumpaan bersama Yang Amat Arif Ketua Hakim Mahkamah Besar Brunei dan menandatangani Memorandum Kerjasama Kehakiman antara Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam dan Mahkamah Persekutuan Malaysia.

    Melalui memorandum itu, kedua-dua badan kehakiman mempunyai platform untuk mengukuhkan komunikasi, memudahkan pembelajaran bersama dan menggalakkan inisiatif kerjasama terutama dalam bidang pentadbiran kehakiman, kepimpinan dan tadbir urus mahkamah.

    Menyertai Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun pada majlis itu ialah hakim Mahkamah Tinggi Malaysia, ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dan timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam.

    Turut hadir ialah Ketua Hakim Mahkamah Besar Brunei, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, pesuruhjaya-pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Besar dan pemangku pendaftar Mahkamah Besar.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima mengadap Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun dan delegasi di Istana Nurul Iman, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda