Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Setiausaha Agung, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Tuan Yang Terutama Haitham Al-Ghais di Istana Nurul Iman, kelmarin.
Semasa majlis mengadap berkenaan, Baginda Sultan dan TYT Haitham Al-Ghais telah berbincang mengenai peluang-peluang untuk meningkatkan kerjasama antara Nega-ra Brunei Darussalam dan OPEC dalam bidang minyak dan gas.
Perbincangan juga tertumpu pada isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama bagi kedua-dua pihak.
Menyertai bersama Tuan Yang Terutama pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.



