Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan tinjau Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

    Oleh Syahmi Hassan & Sim. Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani dan Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi di Jalan Menteri Besar.

    Keberangkatan Baginda Sultan dijunjung oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

    Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, setiausaha-setiausaha tetap di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Semasa lawatan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengunjungi Bahagian-bahagian Pentadbiran, Korporat, Pengangkutan, Perhubungan, Audit Dalaman, Perhubungan Korporat, Kewangan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Bahagian Pameran.

    Dalam lawatan tersebut juga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra dengan pegawai dan kakitangan, mendengar sembah penerangan mengenai tugas yang dijalankan dan kemudahan yang terdapat di bangunan tersebut.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu adalah bagi memastikan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi terus komited menanai tanggungjawab bagi meningkatkan sektor pengangkutan dan infokomunikasi seiring dengan perkembangan masa kini yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat dan penduduk negara ini.

    Sebelum mengakhiri lawatan tersebut, Baginda Sultan turut berkenan mengurniakan titah di hadapan pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi di Jalan Menteri Besar.
    Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar ramai bersama kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi semasa lawatan tersebut.
    Baginda Sultan berkenan menerima sembah penerangan semasa lawatan tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda