Wednesday, July 16, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan tunai solat Aidiladha

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) semalam berkenan berangkat menyertai para jemaah bagi menunaikan sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Majlis dimulakan dengan laungan azan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Awang Ahmad Syafiq bin Haji Osman, diikuti dengan sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha yang diimamkan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    Sementara itu, Khutbah Sunat Aidiladha disampaikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Haji Hassan bin Haji Metali yang menekankan kepentingan pengorbanan, keikhlasan dan ketakwaan dalam kehidupan umat Islam.

    Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha turut dilangsungkan secara serentak di seluruh masjid utama, surau dan balai ibadat di seluruh negara mulai jam 7:30 pagi, disertai ribuan jemaah yang hadir bersama keluarga untuk menyemarakkan hari kebesaran Islam ini.

    Laungan takbir, tasbih dan tahmid bergema memenuhi ruang udara negara sejak malam sebelumnya, menyemarakkan semangat kesyukuran umat Islam ke hadrat Allah SWT atas segala rahmat dan nikmat-Nya.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menerima junjung ziarah daripada para jemaah semasa berkenan berangkat menunaikan sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat menunaikan sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara jemaah yang hadir bagi menunaikan sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda