Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan utus tahniah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Sir Keir Starmer MP berikutan dengan pelantikannya sebagai Perdana Menteri United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland yang baharu.

    Di dalam titah perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berharap agar TYT Sir Keir Starmer MP akan mencapai kejayaan yang besar dan yakin di bawah kepimpinannya, United Kingdom (UK) akan terus mencapai kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menyatakan bahawa UK merupakan rakan kongsi yang dipercayai. Pada tahun ini, kedua-dua buah negara meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik, yang mana merupakan pencapaian penting dalam hubungan akrab yang telah sekian lama terjalin.

    Hubungan berkekalan ini terus dinikmati oleh kedua-dua buah negara melalui kerjasama yang sangat baik dalam bidang-bidang berkepentingan bersama dan kerjasama rapat dalam Hubungan Dialog ASEAN-UK dan Komanwel.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berharap dapat bertemu dengan TYT Sir Keir Starmer MP ke arah mengeratkan lagi persahabatan peribadi dan hubungan yang sangat dihargai ini, demi kebaikan bersama kedua-dua buah negara dan rakyat.

    Pada mengakhiri titah perutusan berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengucapkan semoga TYT Sir Keir Starmer sentiasa berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.

    GAMBAR FAIL SERAHAN JABATAN PERDANA MENTERI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda