Saturday, April 19, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan utus tahniah kepada Malaysia

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Yang ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kepada Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Tun Dato Laila Utama Dr Mahathir bin Mohamad serta kerajaan dan rakyat Malaysia, sempena dengan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Malaysia ke-62.

    Di dalam titah perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia sangat menghargai persaudaraan akrab serta kerjasama dua hala yang kukuh di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia. Baginda seterusnya menambah bahawa keberangkatan lawatan negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Negara Brunei Darussalam baru-baru ini mencerminkan hubungan rapat dan istimewa yang sekian lama terjalin dan Baginda penuh percaya bahawa hubungan silaturahim dan persahabatan kedua-dua buah negara akan terus terpelihara serta diperkukuhkan lagi pada masa-masa akan datang demi kepentingan dan kesejahteraan kedua-dua negara dan rakyat masing-masing.

    Pada mengakhiri titah-titah perutusan tersebut, Baginda dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berdoa kehadrat Allah SWT semoga Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Baginda Raja Permaisuri Agong serta kerabat diraja sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat, dan begitu juga dengan TYT Tun Dato Laila Utama Dr Mahathir, Tun Datin Dr Siti Hasmah dan ahli keluarga serta kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia akan sentiasa dalam perlindungan serta rahmat Allah SWT.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda