Oleh Nurdiyanah R. –
Hanya komunikasi antara gambar dan penghayatnya seolah-olah mencipta perhubungan melalui pemikiran dan minda, yang kemudiannya turut melibatkan penghayatan jiwa.
Begitulah indahnya seni fotografi umpama dokumentasi, merakamkan cerita dalam sebuah gambar tanpa memerlukan ayat atau kata-kata.
Setiap jurugambar mempunyai pengertian mereka sendiri tidak kira sama ada mengambil gambar menggunakan telefon pintar mahupun kamera digital.
“Pada ketika mengetik kamera, saya sudah dapat menghayati cerita yang ingin saya sampaikan.
“Keunikan momen yang bukan sering dilihat itulah antara perkara yang menjadi tumpuan ketika mengambil gambar seperti momen matahari terbenam di belakang pelantar minyak,” ujar pemilik gambar berjudul Mentari Merah Di Pelantar Minyak, Awang Muhamad Azlan bin Mohd Jefri yang menyandang tempat pertama bagi Pertandingan Fotografi Cuaca Sempena Hari Kajicuaca Sedunia anjuran Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) semasa ditemui penulis di majlis penyampaian hadiah pertandingan berkenaan yang berlangsung di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, baru-baru ini.
Insan yang sudah lama berkecimpung dalam seni fotografi selama 15 tahun itu turut menambah sebanyak 16 keping gambar telah dihantar pada pertandingan berkenaan.
Jelasnya, saat suasana berembun, kilat, matahari terbit, matahari terbenam dan segala macam momen menjadi peneman setia dalam setiap gambar yang dihasilkan untuk menepati tema pertandingan fotografi tersebut iaitu Masa Depan Cuaca, Iklim dan Air Merentasi Generasi.
Awang Muhammad Azlan yang menerima hadiah wang tunai $500 serta sijil itu turut mengongsikan penyertaan pada pertandingan berkenaan bukanlah semata-mata untuk berkongsi karya gambar yang dihasilkan namun satu hal yang lebih utama ialah untuk melihat sejauh mana bakat seni fotografi dalam dirinya di samping ingin meningkatkan prestasi kemahiran dari semasa ke semasa dengan adanya perkongsian ilmu dan pengalaman daripada para juri dan juga peserta-peserta yang lain.
KEINDAHAN FENOMENA ALAM
Jiwa seni fotografi yang obses dengan keindahan fenomena alam seperti hujan dan petir, telah mendorong Awang Norsah bin Haji Kassim menghasilkan sentuhan gambar sehingga menempatkannya sebagai pemenang kedua di pertandingan tersebut.
Menerusi gambar yang berjudul Kilat Sabung -Menyabung Di Langit Bumi Brunei dan Ditemani Hujan Barai-barai Dari Lewat Petang Hingga Ke Waktu Malam, beliau berkongsi secara ringkas detik memperolehi gambar berkenaan semasa dalam perjalanan malam di mana suasana hujan dan kilat sambar-menyambar pada ketika itu telah menjentik hatinya untuk merakamkan keindahan alam itu dan memilih lokasi pemandangan yang sinematik serta unik di sekitar Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
Beliau yang membawa pulang hadiah wang tunai $300 serta sijil merupakan seorang jurugambar bebas sejak tahun 2017 yang pada umumnya lebih menumpukan kepada seni fotografi jenis landskap dan haiwan khususnya burung.
DETIK BERIADAH MEMBAWA REZEKI
Sementara itu, Dayang Ainatul Ruwaidah binti Awang Rosli selaku pemenang ketiga pada pertandingan berkenaan turut berkesempatan mengongsikan pengalaman merakamkan sebuah gambar yang dipertandingkan itu sememangnya diperolehi secara bersahaja dengan menggunakan telefon bimbit di mana ketika beriadah bersama ahli keluarga di kawasan Taman Mahkota Jubli Emas yang dahulunya dikenali sebagai Taman Eko Koridor.
“Menyaksikan pemandangan yang cukup menakjubkan ciptaan Ilahi dengan warna langit jingga kemerah-merahan menghidupkan lagi suasana matahari terbenam di perairan Kampong Ayer.
“Lebih indah lagi, sedang berlabuhnya sebuah kapal persiaran di tengah-tengah perairan di ibu negara ini dengan adanya rumah-rumah kayu masih mengekalkan keasliannya berhubung antara satu sama lain dengan jambatan pail-pail kayu,” jelasnya.
Sambil merenung koleksi gambar peribadinya berjudul Pelayaran Melalui Masa: Matahari Terbenam Membisikkan Kisah Generasi Kampong Ayer itu, Dayang Ainatul turut menambah bahawa bukan hanya keindahan alami yang dapat dilihat namun paparan gambar itu juga dapat membuktikan Kampong Ayer yang terdapat di ibu negara sebagai lokasi warisan negara yang ikonik dan bersejarah bahkan menyerlahkan lagi sebagai satu tarikan destinasi pelancongan dalam negara sehingga kini.
“Detik kemenangan buat kali pertama kali ini pastinya mendorongnya untuk lebih memberanikan diri dalam menceburi mana-mana pertandingan seni fotografi di samping mendidik keyakinan untuk terus mengasah kemahiran yang ada dari semasa ke semasa,” ujarnya yang membawa pulang hadiah wang tunai $200 serta sijil dengan penuh rasa kesyukuran semasa mengakhiri pertemuan bersama Media Permata, baru-baru ini.
SERLAH BAKAT, TINGKAT KESEDARAN
Menerusi pertandingan yang telah dibukakan kepada orang ramai selama empat bulan bermula dari bermula 10 Oktober 2023 hingga 10 Februari 2024 lalu itu telah menyaksikan sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 60 orang peserta di mana 234 keping gambar telah pun diterima mengikut relevansasi dan kesesuaian gambar dan kapsyen dengan tema pertandingan yang menggambarkan berbagai senario dan kepelbagaian corak cuaca.
Di samping menyerlahkan bakat-bakat peserta dalam bidang fotografi, pertandingan tersebut juga dihasratkan untuk meningkatkan lagi kesedaran orang ramai mengenai pelbagai aspek cuaca dan iklim, serta kepentingannya yang sering memberikan impak kepada individu dan masyarakat.