Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkongsi kegembiraan bersama anak yatim

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Dengan bulan Ramadan semakin dekat ke penghujungnya, pelbagai pihak semakin giat berkongsi rezeki dan kegembiraan dengan golongan yang memerlukan terutamanya anak-anak yatim.
     
    Baru-baru ini, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Mata-Mata serta jawatankuasa takmir dan Muslimah Balai Ibadat Kampung Mata-Mata (BIKMM) juga telah mengadakan penyampaian derma kepada 16 orang anak yatim di kampung berkenaan.
     
    Hadir selaku tetamu khas pada majlis di Balai Ibadat Kampung Mata-Mata itu ialah Ketua Kampung Perpindahan Kampung Mata-Mata, Gadong dan Pemangku Penghulu Mukim Gadong, Pengiran Mohd Nurramzi Nasir bin Pengiran Haji Mohd Salleh.
     
    Sumbangan merupakan sebahagian daripada Tabung Amal Jariah MPK Mata-Mata, sumbangan ahli-ahli jawatankuasa takmir dan Muslimah Balai Ibadat Kampung Mata-Mata serta penduduk kampung dan penderma persendirian.
     
    Majlis diselajurkan dengan Majlis Bersungkai Sekampung dan terdahulu itu diserikan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh Awang Hilman bin Haji Salim.
     
    Sementara itu, ahli-ahli Roses MG dan Sahabat Mercedes Benz Darussalam (SMBD) juga tidak ketinggalan menceriakan lima orang anak yatim dari Kampung Meragang, Kampung Mentiri dan Kampung Tanah Jambu dengan majlis bersungkai di Pearl Cafe, baru-baru ini.
     
    Majlis diselajurkan dengan penyampaian derma yang telah disempurnakan oleh Presiden Roses MG, Awang Shahri bin Wahid dan Presiden Mercedes SMBD Haji Abdul Rahman bin Haji Talip berserta isteri masing-masing.
     
    Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan daripada Roses MG kepada saudara baharu yang merupakan ahlinya, Awang Mohammad Khairol Amin.
     
    Dengan sumbangan itu akan sedikit sebanyak dapat meringankan beban dalam menjalani ibadah puasa dan membuat persiapan Syawal nanti.
     
    Gambar ramai anak-anak yatim yang diraikan dalam majlis di Balai Ibadat Kampung Mata-Mata, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN MPK MATA-MATA
    Awang Shahri menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim. – GAMBAR SERAHAN ROSES MG
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda