KEBANYAKAN orang akan merasa gerun dan takut apabila melihat atau mendengar binatang tarantula, namun bagi seorang wanita warga Indonesia ini tidak pernah merasa cukup dengan apa yang dia ada. Ming Chu berusia 28 tahun telah mengumpul tarantula sejak tahun 2010 dan kini telah mempunyai 1,500 ekor tarantula tinggal di rumah beliau.
Obsesi Ming Cu terhadap tarantula bermula tujuh tahun lalu, apabila dia menjumpai seekor tarantula cantik di halaman rumah beliau di bandar Bandung, Indonesia.
Dia hanya mengambil beberapa gambar binatang itu, tetapi semakin dia meneliti gambar-gambar tersebut, dia semakin terpesona dengan binatang berkaki lapan itu dan mula mencari penjualan tarantula di dalam talian.
Dia cuba membeli seekor, kemudian membelinya lagi dan semakin ketagih dengannya. Sejak tujuh tahun yang lalu, dia telah membelanjakan lebih AS$55,000 pada tarantula, dan kini mempunyai 1,500 ekor tinggal di dalam sebuah bilik khas di rumahnya.
Apabila dia mula-mula memberitahu ibu bapanya yang dia mahu menyimpan tarantula di dalam rumah keluarganya itu, kedua-dua mereka terkedu dan merasa takut, memikirkan ianya adalah binatang yang merbahaya.

Pada mula ibu bapanya tidak mengendahkan hasrat beliau itu, namun Ming Chu kemudiannya membeli beberapa buah buku mengenai tarantula dan cara-cara penjagaan dan pembiakannya, serta bagaimana untuk melindungi dan memastikannya ia tidak keluar dari tempatnya. Apabila ibu bapanya melihat kepada keazaman Ming Chu ini, mereka akhirnya membenarkannya masuk dan dijaga di dalam rumah. “Mereka masih merasa takut, namun dalam keadaan munasabah,” kata Ming memberitahu Kompas. “Nasib baik mereka tidak paranoid.”
Peminat labah-labah berusia 28 tahun itu menyimpan binatang peliharaannya itu di dalam balang dan kaca terrarium yang memenuhi keseluruhan bilik. Koleksinya itu termasuk pelbagai jenis spesies tarantula, ada sebahagiannya berasal dari Indonesia dan yang lain diimport dari seluruh dunia. Namun masih terdapat dua jenis yang paling sukar untuk didapati yang mana dia berharap untuk melengkapkan jenis koleksi beliau itu – Trigmopoeus psychedelicus dari India, dan pulchripes Harpactira dari Afrika.
Seperti apa yang anda boleh bayangkan, menjaga 1,500 tarantula adalah suatu pekerjaan sepenuh masa.
Ming Chu memberitahu media Indonesia bahawa dia menghabiskan kira-kira 10 jam setiap hari untuk memberi makan, memastikan bahawa ia mempunyai air yang cukup dan memantau jika ia berada dalam keadaan yang sihat.
Mujur dia juga menjadikan minatnya itu sebagai satu perniagaan, jadi dia melakukannya bila-bila masa sahaja.


Belajar bagaimana untuk membiak tarantula terbukti satu tugas yang sukar pada mulanya, dan Ming mendakwa bahawa dia terpaksa membeli jenis jantan secara kerap, kerana tarantula jenis betina boleh membunuh dan memakannya. Tetapi dia akhirnya dapat menyesuaikan diri dan beliau mampu untuk menghasilkan spesimen baru untuk dijual kepada peminat-peminat tarantula lain. Namun, beliau tidak menjual mana-mana spesimen daripada koleksi peribadinya.
Ming Cu mula menjual tarantula pada tahun 2012. Pada mulanya, dia hanya berurusan dengan pelanggan-pelangan tempatan, tetapi selepas beliau mengiklankannya di dalam talian, dia mula menerima tempahan dari luar negara seperti United Kingdom, Sweden, Jerman dan Poland. Jika anda berminat, anda bolehlah melihat di laman web beliau iaitu spiderloverpetshop.com.
Dalam tempoh tujuh tahun sepanjang menjaga labah-labah, Ming Chu mendakwa bahawa dia hanya pernah digigit sebanyak 14 kali. Ada yang lebih serius daripada yang lain, bergantung kepada spesies tarantula yang telah menggigitnya. Jenis spesimen yang kurang berbisa tidaklah begitu menyakitkan, dan hanya memerlukan beberapa ais untuk meredakan bengkak dan kesakitan. Manakala jenis spesimen yang berbisa pula, itu lain cerita. Mereka perlu pergi ke hospital, merasa seram sejuk secara tiba-tiba, demam dan tidak tidur sepanjang malam.
Tetapi walaupun mengalami pengalaman yang kurang menyenangkan ini, Ming Chu berkata dia tidak pernah menyerah kalah terhadap minatnya itu.
“Anda hanya perlu berhati-hati,” katanya. “Tetapi tarantula tidak perlu ditakuti, ia kurang berbahaya daripada ular. Walaupun ada sebagiannya telah menggigit saya, namun saya masih menjaganya.”
Dalam sebuah masyarakat peminat tarantula, Ming Chu telah digelar ‘Ratu Tarantula’. Beliau tidak kisah dengan gelaran itu, malah, dia merasa bangga dengan apa yang diberikan.