Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkorban demi kerjaya nyanyian

    Pernah berada dalam situasi di persimpangan dilema yang menuntut pengorbanan besar, penyanyi popular, Sarah Suhairi tidak menyesal memilih kerjaya sebagai penyanyi dan pelakon.

    Berkongsi pengorbanan yang dilakukan sempena Aidiladha yang disambut seluruh umat Islam, Jumaat lalu, Sarah menganggap apa yang dilakukan tidak sebesar kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail.

    Sarah berkata, pengorbanan yang dilakukan lebih kepada memperjudikan masa depan demi menggapai impian bergelar anak seni.

    Akuinya, awalnya, keputusan bergelar penyanyi tidak dilakukan dengan sepenuh hati.

    “Saya masih berbelah bahagi sama ada mahu menjadi penyanyi atau menyambung pelajaran, ketika itu. Secara kebetulan, saya mendapat tawaran menyambung pengajian dalam bidang Juru Ukur Bahan yang amat diminati. Dalam masa sama, saya terpilih untuk menyertai satu program realiti.

    “Awalnya, saya tak mahu melepaskan dua peluang keemasan ini. Namun, melihat jadual program realiti berkenaan yang cukup ketat, akhirnya saya terpaksa mengambil keputusan melepaskan tawaran belajar dan memilih menyertai program realiti ini,” katanya kepada media.

    Pun begitu, penyanyi yang popular dengan lagu Rise and Fall itu berkata, ada ketika timbul rasa cemburu apabila melihat rakan sebaya sudah menamatkan pengajian.

    “Bukan nak kata saya menyesal, tetapi apabila melihat rakan lain sudah menamatkan pengajian, ada yang nak buat latihan amali, timbul rasa cemburu.

    “Bagaimanapun, ayah selalu mengingatkan supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang saya ada kerana ramai yang mengimpikan untuk berada di tempat saya,” ujar penyanyi itu. – Agensi

    Sarah Suhairi tidak menyesal memilih kerjaya sebagai penyanyi dan pelakon. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda