Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri yang memasuki hari ke tujuh, orang ramai diingatkan supaya tidak leka menikmati juadah dan minuman bergula terutamanya semasa rumah terbuka.
Pengawalan kalori adalah penting dengan mengambil kuantiti yang diperlukan sahaja bagi mereka yang kurang bersenam. Bagaimanapun, pemakanan hendaklah fokus kepada kualiti makanan dan bukannya kepada kuantiti makanan.
Selain itu, berlari dan mendaki bukit adalah antara sukan yang terbaik untuk mengurangkan lemak dalam badan.
Bagi mereka yang gemar berlari setiap hari, tidak menjadi masalah untuk menikmati juadah Hari Raya, namun pengambilan makanan berlemak, minuman manis, kuih-muih adalah perlu dan sama pentingnya untuk dipantau pengambilannya
Salah seorang pelari, Awang Dzul Husni bersama rakan-rakan ketika ditemu bual berkata, jemputan rumah terbuka yang kebiasaannya diadakan pada hujung minggu, sehubungan itu, kita perlu beringat-ingat supaya menghadkan pengambilan makanan yang tinggi minyak, gula dan sebagainya.
Seorang lagi pelari, Awang Ejal Elia juga berkata, ketika meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri, kita juga perlu menjaga tahap kesihatan yang baik dengan bersenam pada waktu pagi atau petang dan jangan sekali-kali ditinggalkan.
Pada sambutan Hari Raya ini, air minuman yang manis juga sering dilihat dihidangkan ketika mengunjungi rumah sanak saudara atau sahabat handai, namun untuk para penggemar sukan berlari mengambil air putih juga memainkan peranan untuk menjaga tahap air dalam badan supaya tetap mencukupi dan mengelakkan dehidrasi ketika berlari, ujarnya.
