LONDON, 30 JULAI – Seorang wanita yang secara curi-curi menukar tujuh batu kelikir dengan berlian bernilai AS$5.7 juta telah dipenjarakan atas peranannya dalam rompakan berani di sebuah kedai barang kemas mewah di daerah Mayfair, London.
Lulu Lukatos, 60, dijatuhi hukuman penjara lima tahun setengah semalam selepas juri di Mahkamah Southwark Crown di London mendapati dia bersalah bersubahat untuk mencuri.
Lakatis ialah salah seorang anggota geng antarabangsa yang melarikan diri ke Perancis selepas mencuri berlian dari Boodles di New Bond Street pada 10 Mac 2016. Batu permata itu masih belum ditemui.
“Ia adalah rompakan berani, dijalankan di depan pekerja berpengalaman dan profesional di kedai barang kemas terkenal,” kata detektif Sarjan William Man dari Perkhidmatan Polis Metropolitan London dalam satu kenyataan.
“Perancangan dan pelaksanaan kecurian yang rapi mendedahkan kepada saya bahawa mereka yang terbabit adalah penjenayah amat mahir.”
Beberapa hari sebelum rompakan, penjenayah mengadakan beberapa siri mesyuarat dengan kakitangan Boodles dengan menyamar mereka mewakili seorang pelabur kaya Rusia yang ingin membeli batu pertama, kata polis.
Lakatos, yang dilahir di Romania dan menetap di Perancis, menyamar sebagai pakar batu permata bernama ‘Anna’ yang mengunjungi Boddles untuk menilai tujuh bentuk berlian untuk pembeli.
Selepas dia memeriksa batu permata yang termasuk berlian 20 karat bernilai lebih 2.2 juta pound, ia dibalut secara individu dan diletakkan dalam beg berkunci yang sepatutnya disimpan dalam peti kebal kedai barang kemas sehingga bayaran diterima.
Namun pakar Boodles berasa sangsi keesokan harinya dan beg berkenaan disinar-X dan mereka menemui tujuh batu kelikir biasa di dalamnya. – AP