HONG KONG, 9 OKT – Berlian berwarna merah jambu, The Williamson Pink Star, telah dilelong dengan nilai AS$49.9 juta di Hong Kong, pada Jumaat, sekali gus menjadikannya rekod dunia bagi harga tertinggi per karat untuk berlian yang dijual pada acara lelongan.
Berlian tersebut yang mempunyai 11.15 karat, dilelong oleh rumah lelong Sotheby di Hong Kong, dijual dengan nilai AS$49.90 juta. Ia sebelum ini dianggarkan bernilai AS$21 juta.
The Williamson Pink Star mendapat namanya daripada dua berlian merah jambu yang terkenal. Yang pertama ialah berlian Williamson 23.60 karat yang dipersembahkan kepada mendiang Ratu Elizabeth II sebagai hadiah perkahwinan pada 1947, sementara yang kedua adalah berlian Pink Star 59.60 karat yang dijual dengan harga rekod AS$71.2 juta semasa acara lelongan pada 2017.
The Williamson Pink Star merupakan berlian merah jambu kedua terbesar yang dilelong semasa acara jualan. Berlian merah jambu adalah antara berlian yang paling jarang ditemui dan paling bernilai.
“Ini adalah keputusan yang luar biasa, membuktikan ketahanan berlian dalam ekonomi yang goyah,” kata Tobias Kormind, pengarah urusan bagi 77 Diamonds.
“Aset yang boleh dilihat seperti berlian mempunyai sejarah menunjukkan prestasi yang baik meskipun dalam keadaan tidak stabil,” katanya. “Beberapa berlian yang mempunyai kualiti terbaik dunia menyaksikan pe-ningkatan harga dua kali ganda sejak 10 tahun kebelakangan.”– AP
