BERLIN, 20 JUN – Jerman akan menjadi tuan rumah mesyuarat mengenai krisis makanan global yang semakin meruncing akibat perang di Ukraine dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken antara mereka yang bakal hadir, kata jurucakap kerajaan kelmarin.
Persidangan pada Jumaat ini akan diadakan di bawah tajuk “Bersatu untuk Keselamatan Makanan Global” akan membincangkan mengenai kekurangan yang timbul akibat perang, jurucakap itu memberitahu sidang akhbar di Berlin.
“Kerajaan amat komited sebagai presiden G7 untuk mencari jawapan bersama kepada krisis kelaparan global yang meningkat dicetuskan oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine,” katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock menyatakan ciapan Twitter bahawa persidangan tersebut bertujuan “menstabilkan bekalan makanan di seluruh dunia”.
Terdahulu, Barat telah menuntut Moscow berhenti menyekat pelabuhan Laut Hitam Ukraine bagi membolehkan simpanan besar bijirin dibawa ke pasaran dunia berikutan kebimbangan berlakunya kebuluran di kawasan yang terdedah.
Walau bagaimanapun, tuntutan berkenaan gagal dan Moscow telah menafikan tanggungjawab terhadap krisis makanan sebaliknya menyalahkan sekatan Barat atas gangguan penghantaran yang telah menaikkan harga bijirin serta menimbulkan kebimbangan terhadap kebuluran di kawasan yang terdedah. – AFP
