JERMAN, 1 SEPT – Israel mesti ‘segera’ memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza, kata seorang wakil kerajaan Jerman bagi hak asasi manusia dan bantuan kemanusiaan hari ini, menjelang lawatannya ke Israel dan wilayah Palestin.
Israel sebelum ini mendapat sokongan meluas di Jerman, namun Canselor Friedrich Merz kini mengambil pendirian lebih tegas terhadap negara itu berikutan krisis kemanusiaan yang meruncing di Gaza.
Bulan lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara rasmi telah mengisytiharkan berlaku krisis kebuluran di Gaza, selepas laporan disokong oleh pihak PBB yang memberi amaran seramai 500,000 penduduk sedang menghadapi keadaan ‘bencana’ di wilayah yang dilanda perang itu.
“Kerajaan Israel mesti memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza dengan segera, secara menyeluruh, mampan dan selaras dengan prinsip kemanusiaan serta undang-undang antarabangsa,” kata utusan Lars Castellucci, seorang ahli parlimen daripada Parti Demokrat Sosial, yang memerintah bersama konservatif pimpinan Merz.
Beliau mengecam penderitaan ‘yang tidak terhingga’ dialami orang awam, khususnya kanak-kanak, yang terperangkap dalam konflik dan ‘tidak menanggung sebarang kesalahan mahupun tanggungjawab’.
Bantuan kemanusiaan Jerman ke Gaza “telah ditingkatkan berkali ganda,” namun ia “tidak bermakna” selagi tidak sampai kepada mereka yang memerlukan, katanya.
Setakat ini, serangan Israel telah meragut sekurang-kurangnya 63,459 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, menurut angka kementerian kesihatan di Gaza yang ditadbir Hamas dan dianggap boleh dipercayai oleh PBB. – AFP


