BERLIN – Dalam masa dua tahun, satu lubang besar di tengah-tengah Berlin akan menjadi takungan terbesar ibu kota Jerman itu, menyimpan sumber yang semakin berharga iaitu air.
Berabad-abad yang lalu kawasan paya, Berlin telah bertukar daripada sebuah bandar yang cuba menghalang air bawah tanahnya yang banyak daripada melimpah kepada bandar yang tergesa-gesa untuk memelihara hutannya yang hijau.
“Sebelum ini, matlamat adalah untuk mengalihkan air hujan supaya dapat melintasi bandar tanpa perlu memakai kasut getah,” Stephan Natz, jurucakap perkhidmatan pengurusan air Berlin, memberitahu AFP dari pinggir kawah itu yang mempunyai kedalaman 20 meter.
Namun pada 2018, bandar itu mengamalkan ‘perubahan paradigma’ dan kini mencari cara untuk menyimpan air hujan untuk memerangi kemarau dan mencegah banjir kilat.
Pada dasarnya, ia menggunakan konsep ‘bandar span’, yang muncul sebagai teori pada tahun 1970an dan telah mendapat sambutan di pusat-pusat bandar yang semakin berkembang di seluruh Amerika Syarikat (AS), China dan Eropah, kerana perubahan iklim menjadikan sistem cuaca lebih sering berubah-ubah dan lebih lebat.
“Taburan hujan kini menjadi lebih tidak menentu, iaitu kemarau diikuti hujan lebat dan pemanasan yang semakin meningkat, seterusnya meningkatkan penyejatan,” kata Natz.
Sistem saliran kumbahan yang berusia 150 tahun di Berlin tidak dibina untuk menghadapi banjir besar hari ini.
“Sekiranya hujan lebat, air bercampur dan membanjiri sungai Spree, mencetuskan kematian ikan dan pencemaran yang boleh di-lihat,” kata Natz.
Pada masa yang sama, Berlin telah berdepan kekurangan air yang teruk sejak beberapa tahun kebelakangan kerana keadaan kemarau di ibu negara itu menyebabkan tanah terlalu kering untuk menyerap hujan yang turun secara tiba-tiba dan kuat.
Akibatnya, air bawah tanah di ibu negara itu masih tidak kembali ke paras normal selepas lima tahun kemarau, menurut Institut Ekologi Air Tawar dan Perikanan Darat Leibniz.
“Kini terdapat kesedaran tentang nilai air di Berlin. Ia adalah salah satu tempat paling kering di Jerman,” kata Darla Nickel, pengarah agensi tersebut yang menguruskan air hujan di ibu negara.
Sebagai simbol transformasi yang berterusan, rizab air gergasi yang sedang dalam pembinaan itu terletak di tengah-tengah ibu kota, kurang daripada dua kilometer dari Brandenburg Gate.
Takungan itu, berdiameter 40 meter, akan mengumpul hampir 17,000 meter padu air, atau lima kali ganda kapasiti kolam bersaiz Olimpik.
Ia akan menyimpan air hujan sebelum dihantar ke loji rawatan.
Selain takungan mega itu, Berlin kini memerlukan projek perumahan baharu mempunyai strategi pengumpulan air hujan.
Quartier 52, dibina lima tahun lalu di barat daya bandar itu, merupakan salah satu model itu.
Tiga kolam besar telah digali di sekitar taman perumahan berkenaan, menyediakan tempat penduduk berjalan-jalan pada hari yang cerah sambil berfungsi sebagai tadahan apabila hujan.
Air hujan “dikumpulkan di atas bumbung-bumbung hijau dan kemudian di kolam ini,” kata Nickel.
“Air menyejat dan seterusnya mewujudkan suasana yang lebih menyenangkan.”
Turapan juga mencerun landai, membolehkan air mengalir turun ke dalam tanah.
“Awda melihat bahawa ia boleh menjadi sangat mudah,” kata Nickel.
Cabarannya adalah untuk mereplikakan langkah sedemikian di seluruh bandar.
“Perkembangan lebih perlahan dengan bangunan-bangunan sedia ada berbanding pembinaan-pembinaan baharu,” kata Nickel.
Secara keseluruhannya, kira-kira 30 projek sedang berjalan di bawah pelan bandar span, termasuk di kawasan Gendarmenmarkt, tengah Berlin, biasanya tumpuan pelancong.
Bandar itu juga meminta penduduk memasang pengumpul air atau menanam bumbung hijau, menawarkan pengecualian bayaran untuk pengurusan atau pembersihan air hujan.
Pegawai-pegawai sedar bahawa ia akan mengambil masa beberapa generasi untuk Berlin menjadi span sebenar.
“Kita akan lihat jika perubahan iklim memberi kita masa yang mencukupi,” kata Natz. – AFP