Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berminat jalin kerjasama dalam bidang bioteknologi

    KUCHING, 27 Feb – Sarawak berminat menjalin kerjasama dengan Universiti Pertanian Yunnan (YAU), China, khususnya dalam bidang bioteknologi, dalam usahanya untuk mentransformasikan sektor pertanian.

    Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerajaan negeri amat berminat untuk membangunkan industri madu kelulut bagi tujuan mempelbagaikan aktiviti dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

    “Industri madu kelulut adalah baharu bagi kita dan kita melihat ada potensi besar dalam industri ini. Jadi kita amat berminat untuk membuat susulan kepada perkara ini dan menjalin kerjasama dengan YAU.

    “Selain itu, kerjasama ini akan membolehkan kita menembusi pasaran China yang amat besar,” katanya selepas menerima kunjungan delegasi lima anggota diketuai Presiden YAU Prof Sheng Jun di pejabatnya di sini, hari ini.

    Turut hadir Konsul Jeneral China ke Sarawak, Cheng Guang Zhong, dan pegawainya. Uggah, yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Peribumi dan Pembangunan Serantau berkata universiti itu antara lain mempunyai pengalaman lebih 70 tahun dalam pengajaran dan penyelidikan bidang sains pertanian dan teknologi.

    Selain melihat kepada peluang menjalin kerjasama dengan YAU dalam bidang bioteknologi, kerajaan Sarawak juga berminat dengan perkongsian data besar dalam sektor pertanian, katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda