Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bermula dari minat, kini ‘Kolektor Ciput’ Hot Wheels

    KOTA BAHARU – Pada 2018 di usia 50 tahun, Mohd Khairillah Ibrahim mula ‘terjebak’ mengumpul kereta mainan Hot Wheels dek kerana kecantikan setiap model yang dikeluarkan serta harganya yang boleh meningkat naik.

    Biarpun bermula pada usia lewat namun selepas enam tahun, guru Bahasa Arab di Kolej Vokasional Pasir Mas kini merupakan antara kolektor serta peniaga aktif di Kelantan yang mempunyai enam lot kedai di Bazar Tok Guru.

    “Saya mula kumpul kereta Hot Wheels pada 2018 dan mula aktif menjual pada 2020. Saya bermula dengan dua lot kedai dan kini sudah mempunyai enam lot kedai.

    “Ketika ini koleksi kereta Hot Wheels saya sebahagian besarnya dipamerkan di enam lot kedai di sini, manakala bagi koleksi peribadi, disimpan di rumah,” katanya ketika ditemui Bernama di Bazar Tok Guru, baru-baru ini.

    Bercerita lanjut, Mohd Khairillah yang dikenali sebagai ‘Kolektor Ciput’ dalam kalangan peminat kereta Hot Wheels berkata koleksi paling murah yang pernah dibelinya berharga
    RM10 manakala paling mahal kereta 55 Chevy Gasser berharga RM1,200.

    Mohd Khairillah Ibrahim menyusun koleksi kereta Hot Wheels miliknya sebelum membuat live di Tiktok ketika tinjauan Bernama baru-baru ini. – Bernama
    Mohd Khairillah Ibrahim menunjukkan koleksi kereta Hot Wheels model Honda Civic Type-R EK9 miliknya. – Bernama dipertontonkan secara live kepada pengikut ketika tinjauan Bernama baru-baru ini. – Bernama
    Gambar Bernama

    “Selain itu, saya juga ada model 71′ Datsun 510, Nissan Skyline GT-R (BNR34) Aero Lift, 1969 Chevy Camaro SS, Nissan Silvia (S15) Aero Lift, 1996 Toyota Chaser JZX100, Proton Saga serta pelbagai model lain,” katanya.

    Lepasan Sarjana Muda Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata kebanyakan kereta mainan Hot Wheels yang dikumpulnya dibeli daripada rakan-rakan penjual lain.

    Bagi Mohd Khairillah, harga setiap diecast kereta Hot Wheels ditentukan mengikut permintaan serta beberapa faktor lain.

    “Kereta yang dikeluarkan mengikut koleksi ‘pop culture’, filem, kartun dan Hot Wheels Collectors Convention mampu dijual pada harga lebih tinggi.

    “Selain itu, keadaan koleksi kereta sekiranya masih ‘carded’ (dalam pembungkusan) harganya lebih tinggi berbanding kereta ‘loose’ (sudah dibuka),” katanya.

    Beliau berkata selain mengumpul beliau juga menjual koleksi miliknya itu bermula serendah RM10 dan paling mahal kira-kira RM500.

    “Saya lebih tumpu kepada pelanggan yang datang beli terus di kedai ini berbanding jualan dalam talian kerana saingan lebih sengit kerana sudah ramai penjual.

    “Malah ada juga pembeli yang datang dari luar Kelantan kerana sering melihat sesi live saya di TikTok.

    “Setakat ini, Alhamdulillah rata-rata pembeli berpuas hati dengan koleksi kereta Hot Wheels di kedai ini kerana kita jual dengan harga semurah RM10,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda