Bermunajat didik mualaf sentiasa bertakwa

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Seramai 187 orang mualaf dari pelbagai etnik dan bangsa di seluruh negara serta warga Pusat Dakwah Islamiah (PDI) telah menyertai Majlis Munajat Bersama Mualaf yang telah berlangsung secara maya, kelmarin.

Majlis anjuran PDI melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf) dengan kerjasama Unit Dakwah Daerah-daerah itu telah dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Bokok, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu; Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh; Penolong Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar, para penghulu dan ketua-ketua kampung, ahli-ahli persatuan mualaf dan para mualaf.

Haji Abdul Rajid dalam ucapan alu-aluannya berkata, kepimpinan para mualaf dalam program berkenaan jelas membuktikan apabila seseorang memeluk agama Islam mampu untuk mempelajari, menghayati dan mengamalkan ajaran Islam itu sebaik-baiknya dalam kehidupan seharian.

Aktiviti seperti bermunajat dan berzikir akan dapat mendidik hati untuk sentiasa bertakwa kepada Allah SWT dan mendatangkan kebahagiaan pada diri sendiri, tambah beliau.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah sebelum perasmian oleh tetamu kehormat majlis.

Kemudian, majlis kemudian diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai, Doa Memohon Terhindar daripada COVID-19 dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan PDI, antara lain tujuan program berkenaan adalah untuk menanamkan sikap tanggungjawab khususnya mualaf dalam sama-sama melaksanakan acara-acara keagamaan dan perkara-perkara yang berkebajikan.

Di samping itu juga untuk melibatkan para mualaf dalam sama-sama menanai hasrat kerajaan untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara zikir serta sebagai usaha dan rasa tanggungjawab khususnya PDI untuk terus membimbing para mualaf.

Haji Mohd Serudin hadir merasmikan majlis secara maya berkenaan.