Wednesday, July 16, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bernardo Silva bakal ketuai City

    PHILADELPHIA, 18 JUN – Bernardo Silva mengesahkan yang beliau akan kekal bersama Manchester City untuk musim akan datang dan bersedia menyarung lilitan kapten, lapor PA Media/dpa.

    Pemain tengah Portugal itu kini memasuki tahun terakhir dalam kontraknya dan sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan pada musim panas ini selepas lapan musim di Stadium Etihad.

    Kelab Arab Saudi, Al-Hilal, dilaporkan antara yang berminat terhadap pemain berusia 30 tahun itu, namun beliau memutuskan untuk menolak semua tawaran demi kekal bersama City.

    Keputusannya itu mungkin membawanya ke peranan lebih senior, apabila pengurus Pep Guardiola mendedahkan yang Silva akan menjadi seorang daripada empat pemain dalam kumpulan kapten bagi musim 2025-26.

    Silva berkata, “Musim ini pasti bersama Man City. Saya akan kekal.

    “Saya pernah ada pilihan sebelum ini dan juga tahun ini, tetapi seperti tahun lalu, tahun ini saya tetap memilih untuk kekal di Man City.”

    Silva yang ditemui di Philadelphia menjelang perlawanan pertama City dalam Piala Dunia Kelab menentang Wydad Casablanca, enggan mengesahkan sama ada ini akan menjadi musim terakhirnya di Manchester atau tidak.

    Katanya, “Saya tahu apa yang akan saya lakukan tetapi belum masanya untuk bercakap mengenainya. Saya sangat fokus untuk musim ini dan bermain dengan baik untuk Man City. Bila tiba waktunya, saya akan berbicara tentangnya.”

    Guardiola mengubah pendekatannya musim ini dengan memilih sendiri kumpulan kapten untuk pasukan, sesuatu yang belum pernah dilakukannya sebelum ini. – Bernama

    Silva mengawal bola semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris di Stadium St Mary di Southampton, England pada 10 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda