Wednesday, April 30, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bernazar dengan perkara wajib, haram, mubah dan makruh

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    NAZAR merupakan salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Melalui nazar seseorang itu mewajibkan ke atas dirinya sesuatu amalan kebajikan dengan kerelaan hati serta niat yang tulus ikhlas lagi bersih semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Pada dasarnya, perkara yang dinazarkan ialah perkara-perkara yang disunatkan oleh syarak seperti berpuasa sunat, bersedekah, menunaikan umrah dan sebagainya. Nazar yang seumpama ini wajib ditunaikan. Jika ditunaikan, maka orang yang bernazar itu akan mendapat ganjaran pahala. Manakala jika dia tidak menunaikannya, maka wajib ke atasnya melakukan kaffarah.

    Tetapi timbul persoalan, bagaimana jika perkara yang dinazarkan bukan terdiri daripada perkara-perkara yang disunatkan oleh syarak? Contohnya bernazar dengan perkara yang sememangnya diwajibkan oleh syarak seperti sembahyang lima waktu, bernazar dengan perkara yang dimakruhkan seperti berpuasa sepanjang tahun atau bernazar dengan perkara mubah (harus) seperti makan dan minum?

    Perkara yang dinazarkan adalah rukun nazar

    Selain daripada an-nadzir iaitu orang yang bernazar dan ash-shighah iaitu lafaz (nazar), al-mandzur iaitu perkara yang dinazarkan juga merupakan antara rukun nazar.

    Al-Mandzur iaitu perkara yang dinazarkan terbahagi kepada empat:

    1) Perkara yang berupa ketaatan.

    2) Perkara yang berupa dosa atau maksiat.

    3) Perkara yang mubah iaitu perkara yang diharuskan.

    4) Perkara yang makruh.

    Perkara yang berupa ketaatan

    Bernazar pada perkara yang berupa ketaatan terbahagi kepada dua:

    A) Perkara yang wajib dikerjakan menurut syarak, umpamanya sembahyang lima waktu, puasa Ramadan, mengeluarkan zakat dan sebagainya.

    Seseorang yang bernazar pada perkara-perkara tersebut dihukumkan tidak sah nazarnya itu, kerana perkara tersebut sememangnya sudah diwajibkan oleh syarak ke atas dirinya. Begitu juga tidak sah bernazar pada meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh syarak, seperti bernazar meninggalkan meminum khamr (arak) atau bernazar untuk tidak mencuri, dan tidak dikenakan kaffarah jika dia tidak menunaikan nazar tersebut.

    B) Perkara-perkara yang disunatkan oleh syarak melakukannya, seperti berpuasa sunat, sembahyang sunat, bersedekah, beri‘tikaf, menziarahi orang sakit, memberi salam sesama muslim, mendoakan orang bersin dan sebagainya.

    Bernazar pada perkara-perkara sedemikian dihukumkan sah dan wajib ditunaikan.

    Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Barangsiapa bernazar untuk melakukan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka taatlah kepadaNya (tunaikanlah nazar itu), dan barangsiapa bernazar untuk melakukan maksiat kepadaNya, maka janganlah dia melakukan maksiat itu (janganlah dia menunaikan nazarnya itu).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Perkara yang berupa dosa atau maksiat

    Tidak sah bernazar pada perkara yang berupa maksiat atau dosa, seperti bernazar meminum khamr (arak), melakukan zina, membunuh dan apa-apa jua perkara yang dihukumkan haram, malah haram hukumnya jika dilaksanakannya. Dia juga tidak dikenakan kaffarah jika dia tidak menunaikannya.

    Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Imran bin Hushain Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Tidak boleh melaksanakan nazar dalam perkara maksiat, dan tidak juga dalam perkara yang tidak dimiliki oleh seorang hamba.”

    Dan menurut riwayat Ibnu Hujr: “Tidak boleh bernazar dalam perkara maksiat kepada Allah.” (Hadis riwayat Muslim)

    Selain dari itu, bernazar pada perkara maksiat akan menyebabkan berlakunya pelanggaran kepada perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sedangkan maksud atau tujuan nazar adalah untuk menghampirkan diri kepadaNya bukan untuk menjauhiNya dengan melakukan perkara-perkara yang dilarang.

    Perkara yang diharuskan (mubah)

    Mubah ialah perkara yang diharuskan dan jika ditinggalkan tidak berdosa, seperti makan, minum, duduk, berdiri, tidur dan sebagainya. Bernazar pada perkara-perkara mubah sama ada bernazar untuk melakukannya atau tidak melakukannya, hukumnya tidak sah dan tidak dikenakan kaffarah jika mengingkarinya, kerana melakukan atau meninggalkan perkara mubah tidak dikatakan sebagai taqarrub.

    Perkara ini disebutkan di dalam hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya:

    “Tidak sah nazar kecuali bernazar pada perkara yang dapat memperolehi keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.” (Hadis riwayat Abu Daud)

    Perkara yang makruh

    Tidak sah hukumnya bernazar pada perkara-perkara yang makruh. Umpamanya bernazar untuk berpuasa sepanjang tahun bagi orang yang dikhuatiri akan mendatangkan kemudaratan ke atas dirinya atau boleh menghilangkan hak orang lain seperti hak isterinya yang tertanggung ke atas dirinya.

    Kaffarah Nazar

    Kaffarah adalah denda yang wajib dibayar kerana melanggar suatu ketentuan syarak (yang mengakibatkan dosa), dengan tujuan untuk menghapus atau menutup dosa tersebut sehingga tidak ada lagi pengaruhnya atau kesan dosa itu baik di dunia mahupun di akhirat.

    Adapun tujuan kaffarah diwajibkan ke atas seseorang yang melakukan dosa tertentu adalah sebagai hukuman atau denda kepadanya kerana melanggar ketetapan syara’ dan menjadi peringatan untuk tidak akan mengulang kesalahan yang sama pada masa akan datang, namun tidak semua dosa dapat dihapuskan dengan kaffarah.

    Hukum kaffarah adalah wajib kepada orang yang melakukan kesalahan tertentu sahaja, antaranya tidak melaksanakan nazar.

    Kaffarah nazar itu sama dengan kaffarah sumpah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Kaffarah (denda) nazar sama dengan kaffarah (denda) sumpah.” (Hadis riwayat Muslim)

    Kaffarah sumpah dan nazar ialah:

    (1) Memberi makan sepuluh orang miskin dengan makanan dari jenis sederhana yang biasa diberikan oleh orang yang membayar kaffarah itu (jenis makanan) kepada keluarganya.

    (2) Atau memberi pakaian sepuluh orang miskin dengan sesuatu yang dinamakan pakaian, seperti baju, kain sarung, serban dan sebagainya.

    (3) Atau memerdekakan hamba.

    Orang yang dikenakan kaffarah, boleh memilih salah satu di antara tiga perkara yang tersebut.

    (4) Jika dia tidak berkemampuan untuk melakukan salah satu dari tiga jenis perkara yang tersebut, maka wajiblah dia berpuasa selama tiga hari.

    Yang dimaksudkan dengan tidak berkemampuan itu ialah tidak berdaya untuk mengadakan harta bagi membayar kaffarah tersebut, seperti orang yang mempunyai harta, tetapi hanya mencukupi untuk orang yang di bawah tanggungannya.

    Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah (peliharalah) sumpah kamu.” (Surah al-Ma’idah: 89)

    Maka jelasnya, tidak boleh dan tidak sah bernazar dengan perkara-perkara yang wajib, haram, mubah dan makruh. Perkara yang dinazarkan hanya dibolehkan dan sah pada perkara-perkara yang disunatkan oleh syara‘. Manakala jika orang yang bernazar tidak menunaikan nazarnya, maka wajib ke atasnya melakukan kaffarah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda