Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berniaga tepi jalan langgar peraturan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Berniaga di tepi jalan adalah melanggar peraturan Akta Jalan Raya di bawah kawalan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mana mereka mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan atas struktur yang diadakan.

    Perkara ini ditegaskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa menjawab soalan mengenai gerai-gerai di tepi jalan pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menyatakan, ke arah memastikan keselamatan semua, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah membuka peluang di tempat lain untuk mereka berniaga seperti di Stadium Negara Hassanal Bolkiah di mana konsep pandu lalu akan dilaksanakan sebagai salah satu cara untuk mengimbangi keadaan pada masa ini.

    Beliau seterusnya menjelaskan, konsep pandu lalu berkenaan adalah sebagai tambahan kepada e-dagang, di mana Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) bersama jabatan daerah telah membuat sosialisasi menjemput peniaga untuk diberikan maklumat bagaimana mereka dapat menggunakan platform untuk berniaga.

    “Kita menyedari ada sebilangan orang yang kurang memahami penggunaan sistem ini dan untuk itu, kita telah berunding dengan AITI supaya nanti akan diadakan satu tempat di mana peniaga ini akan dapat membawa produk mereka dan terpaksa memberikan masa untuk menghantar produk tersebut dan produk itu nanti akan diagihkan atau dihantar oleh runners,” jelasnya.

    Ini hanya memerlukan mereka untuk memasukkan imej dalam telefon supaya imej mereka dapat dilihat oleh orang lain dan dapat menentukan apa barang yang hendak dibeli pelanggan dan penggunaan kaedah ini nanti akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

    Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan, perniagaan yang dibuat di rumah adalah sebagai home based yang menggunakan perkhidmatan berjual dan mengambil dari rumah adalah dibenarkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda