Salam kepada pembaca ruangan Kisah Kami, di sini saya ingin bercurhat mengenai masalah yang membelenggu fikiran saya selama ini. Sebelum ini saya menjangkakan bahawa membuka perniagaan adalah sesuatu yang mudah.
Mana tidaknya, sebelum ini saya beranggapan bahawa kalau saya membuka perniagaan sendiri maka sayalah bos dan tidak lagi terikat dengan waktu bekerja yang ketat. Tetapi ternyata prasangka saya jauh terpeleset. Kini sesudah saya membuka perniagaan iaitu butik pakaian pengantin, barulah saya tahu bahawa ia tidak semudah yang disangka.
Sebelum ini, saya pernah bekerja di sebuah syarikat yang stabil dengan gaji yang selesa.
Namun disebabkan merasa pekerjaan itu bukanlah ‘jiwa’ saya dan lebih berminat untuk menjalankan perniagaan sendiri, maka saya membuat keputusan berani untuk berhenti kerja.
Pada awal melangkah ke dunia perniagaan, Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar dan keuntungan meningkat. Tetapi lama-kelamaan masalah mula timbul. Paling saya terkesan apabila dunia dilanda pandemik dan tiada pelanggan yang datang membuat tempahan. Akibatnya saya menanggung kerugian yang besar dan sehingga kini saya masih sedaya upaya melunaskan hutang-hutang yang tertonggak demi meneruskan kelangsungan perniagaan.
Kadangkala terdetik di hati saya, adakah dahulu aku membuat keputusan yang betul untuk berhenti kerja? Adakah mental ku cukup kuat sekiranya perniagaan ini tidak mampu bertahan? Apakah perancangan seterusnya?
Sebelum saya mengakhiri curhat ini, saya ingin memberi nasihat kepada mereka yang ingat bahawa berniaga ini sesuatu yang mudah. Jangan anggap bahawa sesudah memiliki kedai sendiri maka kita hanya perlu bekerja dua jam sehari. Namun hakikatnya, kini saya terpaksa bekerja 24 jam setiap hari.
Najwa

NASIHAT DANG MP
Terima kasih kepada Najwa kerana berkongsi kisah awda. Sememangnya menjalankan perniagaan tidaklah semudah yang disangka. Kebiasaannya dalam tempoh awal sesuatu perniagaan memerlukan banyak pengorbanan masa dan tenaga seperti bekerja 24 jam sehari yang dikatakan. Manakan tidak kerana awdalah pengurus, pekerja, penjual dan macam-macam peranan lagi yang harus dipegang. Tambahan lagi, banyak perniagaan terpaksa gulung tikar akibat pandemik yang melanda tidak lama dahulu.
Untuk menghadapi cabaran ini, Dang cadangkan supaya cuba strategi pengurusan kewangan yang lebih efektif, meneroka pemasaran digital, atau menyesuaikan perkhidmatan dengan keperluan pelanggan pasca-pandemik.
Jika tekanan menjadi terlalu berat, jangan ragu untuk mendapatkan sokongan dari keluarga, mentor, pihak bank atau pakar kaunseling. Penting untuk menjaga kesejahteraan mental awda dalam proses ini.
Apa pun keputusan awda, ingatlah bahawa kegagalan bukan penamat, tetapi satu pembelajaran berharga. Teruskan usaha dengan strategi yang lebih baik atau pertimbangkan peluang baharu yang lebih sesuai seperti mengembangkan perniagaan yang tidak terhad kepada butik pakaian pengantin seperti perkhidmatan jahitan atau katering majlis perkahwinan, solekan pengantin dan lain-lain. Juga luaskan pergaulan untuk mencari rakan-rakan perniagaan yang boleh meneroka peluang-peluang baharu.
Banyakkan juga membaca kisah-kisah kejayaan ahli perniagaan tempatan atau luar negara supaya dapat menguatkan semangat awda dan mengambil pengajaran dan teladan.
Semoga perniagaan Najwa bertambah maju dan bakal menjadi kisah seorang peniaga yang boleh membantu orang lain.