Berpada-pada menikmati juadah semasa Lebaran

Oleh Nurdiyanah R.

Kemeriahan Lebaran diraikan dengan penuh kegembiraan dan diserikan pula dengan tradisi ziarah-menziarahi dalam kalangan insan-insan terdekat sambil bermaaf-maafan dan mengeratkan jalinan tali persaudaraan. Begitulah indahnya bulan kemenangan yang disambut bersama bersulam kesyukuran.

Sebut saja makanan, satu ungkapan yang tidak dapat dipisahkan dalam kalangan masyarakat kita ketika berhari raya bahkan pelbagai cita rasa juadah pasti tersedia.

Semestinya, hidangan juadah Hari Raya adalah antara inti pati penting dalam sambutan Aidilfitri, namun berapa ramaikah yang sedar akan pentingnya pemakanan secara sihat semasa musim perayaan ini?

Biasanya, ramai di antara kita akan mengambil makanan yang berlebihan kerana hal ini tentunya disebabkan setiap rumah yang dikunjungi akan menghidangkan makanan sebagai menghargai tetamu yang datang. Walaupun Hari Raya merupakan hari kemenangan untuk orang Islam setelah dengan taatnya menjalani ibadah berpuasa sebulan, ia tidak bermakna kita boleh makan apa saja yang tersedia di depan mata.

Hakikatnya, pengambilan juadah seumpama ini tanpa kawalan boleh memberi risiko kepada kesihatan, sekali gus membawa kita kepada masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan obesiti.

Pengambilan juadah tanpa kawalan boleh memberi risiko kepada kesihatan, sekali gus membawa kepada masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan obesiti.
Kita juga digalakkan untuk sentiasa mengehadkan pengambilan makanan yang berminyak, berlemak dan bersantan.

Sentiasa kawal diri demi kesihatan

Sentiasa beringat-ingat, amalan pemakanan yang sihat tidak boleh dilupakan walau di mana pun kita berada lebih-lebih lagi dalam suasana kunjung-mengunjungi.

Begitu juga pentingnya kita mengamalkan kesederhanaan semasa makan bahkan sebaiknya, perlunya kita mengawal hawa nafsu kita sendiri walaupun limpahan juadah terhidang di depan mata.

Menyentuh mengenai had pengambilan makanan dan minuman, kita mestilah sentiasa memilih makanan yang rendah kalori seperti buah-buahan segar terlebih dahulu sebelum mengambil makanan yang lain. Perlu diingatkan juga untuk sentiasa mengutamakan makanan yang kurang minyak, lemak dan santan.

Hadkan pengambilan hidangan manis seperti kuih-muih dan minuman berkarbonat. Begitu juga elakkan makanan yang tinggi kandungan garam seperti kerepek. Di samping itu, kita juga perlu mengawal pengambilan makanan dengan kuantiti yang tidak berlebihan.

Tuan rumah perlu peka

Namun begitu, sebagai tuan rumah juga perlulah peka dengan keperluan tetamu. Jika boleh, pastikan kita menghidangkan pilihan makanan yang lebih sihat untuk para tetamu.

Salah satu langkah terbaik adalah menyediakan makanan seimbang, sederhana dan pelbagaikan hidangan terutamanya bercirikan makanan yang kurang lemak, manis dan masin.

Antara tips yang perlu dilakukan adalah jika hidangan utama awda ialah ketupat, sediakanlah hidangan lain yang kurang lemak seperti rendang yang tidak menggunakan santan tetapi susu rendah lemak. Sekiranya ingin menghidangkan mi, pilihlah mi hoon daripada mi kuning atau mi tiaw.

Sediakan mi sup atau jenis rebus daripada mi goreng. Selain itu tambahkanlah sayur-sayuran di dalam mi berkenaan. Jika hidangan utama awda berupa nasi, sediakan bersama ayam kukus atau panggang dan elakkan hidangan bergoreng.

Demi kesihatan

Satu perkara juga yang perlu kita amalkan adalah sentiasa mengambil minuman air kosong secukupnya dan mengambil makanan yang tinggi serat bagi mengelakkan kita daripada mengalami masalah penghadaman semasa berhari raya.

Begitu juga bagi mereka yang mengambil ubat-ubatan, makanlah ubat terlebih dahulu sebelum membuat perjalanan ke mana-mana mengikut arahan yang ditetapkan oleh pihak doktor dan janganlah sesekali meninggalkannya.

Tidak salah untuk sekali-kali menikmati makanan kegemaran, namun demi kesihatan yang berpanjangan, kita perlu mengutamakan pemilihan makanan yang sihat dan seimbang. Semuanya menjadi hak kita untuk mengatakan ‘tidak’ kepada makanan yang berlemak, manis dan masin demi kesihatan tubuh badan masing-masing.