Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berperanan aktif realisasikan wawasan negara

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Jabatan Penerangan menerusi Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Komunikasi Strategik, telah mengadakan majlis pembukaan bagi Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) yang berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini, bertempat di Dewan Darul Imtiyaz, Pusat Bahagia.

    Seramai 34 orang peserta menghadiri program berkenaan, terdiri daripada ahli Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) dan persatuan-persatuan yang bernaung di bawahnya diketuai oleh Timbalan Yang Di-pertua MKOKU, Haji Noor Ishanuddin bin Haji Noor Kaseh.

    Antara yang hadir ialah Pemangku Pegawai Penerangan Kanan selaku Ketua Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, Jabatan Penerangan, Dayang Saadiatul Nur Aqilah binti Haji Jaman; dan Pemangku Ketua Seksyen Komunikasi Strategik, Jabatan Penerangan, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Sellahhuddin.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pembantu Pegawai Luar Penerangan, Haji Mahmud Hafidzie bin Haji Awang Ali Mashod.

    Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar.

    Dalam ucapan, beliau antara lain menyentuh PMB merupakan satu inisiatif jabatan untuk memberikan peluang kepada masyarakat menimba ilmu pengetahuan dengan lebih lanjut, mengikut keperluan semasa dan isu yang relevan dengan keperluan pembangunan negara pada masa ini serta yang akan datang.

    Beliau turut menyatakan tema PMB buat julung-julung kalinya menekankan mengenai kepentingan pembangunan negara yang inklusif. Oleh yang demikian, setiap lapisan masyarakat termasuklah golongan orang kelainan upaya juga perlu diberikan peluang untuk memainkan peranan aktif dalam mencapai wawasan negara 2035, di mana melalui ini juga, pembangunan negara yang menyeluruh akan dapat direalisasikan.

    Selaras dengan tujuan PMB iaitu untuk menyuntik semangat dan menginspirasi anggota masyarakat dalam usaha-usaha meningkatkan pengetahuan serta pendedahan kepada aktiviti-aktiviti peningkatan kapasiti dan pengetahuan, atur cara program tersebut telah disusun dengan beberapa sesi taklimat dan lawatan ke agensi-agensi kerajaan yang terpilih.

    Pengiran Haji Ahmad Fadillah hadir bersama peserta lain pada program yang diadakan di Dewan Imtiyaz, Pusat Bahagia. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    Antara yang hadir pada program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda