SARGODHA, PAKISTAN – Di bawah langit yang kering dan berkabus, seorang penternak lebah di wilayah Punjab Pakistan dengan hati-hati memunggah kotak berisi puluhan ribu lebah ke belakang sebuah trak.
Bersama-sama mereka akan menempuh perjalanan 500 kilometer dalam usaha semakin terdesak untuk mencari tumbuhan berbunga, udara bersih dan suhu sederhana untuk pengeluaran madu tatkala perubahan iklim dan pencemaran mengancam industri.
“Kami memindahkan kotak mengikut tempat di mana cuaca adalah baik dan bunga berkembang mekar,” beritahu Malik Hussain Khan kepada AFP, berdiri di ladang pokok limau yang bunganya berkembang beberapa minggu lewat pada Februari dan bertahan hanya beberapa minggu.
Penternak lebah Pakistan biasanya bergerak secara bermusim untuk mengelakkan daripada cuaca panas atau sejuk beku.
Musim panas dihabiskan di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa dan musim sejuk pula di wilayah Punjab tengah.
Tetapi pola cuaca yang tidak dapat diramalkan oleh perubahan iklim – ditambah pula dengan beberapa pencemaran terburuk di dunia – bermakna penternak lebah mesti bergerak lebih kerap dan mengembara lebih jauh.
Musim sejuk ini ditandai dengan peningkatan paras asbut yang tinggi dan berbahaya yang diisytiharkan oleh kerajaan sebagai bencana negara. Penyelidikan mendapati pencemaran udara boleh menyukarkan lebah untuk mencari bunga.
Hujan yang berkurangan, sementara itu, gagal membersihkan udara yang melemaskan sekali gus mencetuskan amaran kemarau kepada petani.
“Hampir separuh daripada lebah saya mati apabila asbut dan kabus melanda musim sejuk ini kerana mereka tidak boleh terbang. Hampir tidak ada hujan yang turun,” kata Khan, yang memindahkan lebahnya sekerap setiap beberapa minggu pada Januari dan Februari.
VARIETI MADU MEROSOT
Lebah daripada 27,000 penternak lebah Pakistan pernah mempunyai pelbagai dedaun yang diberi makan kepada lebah oleh hujan yang boleh dipercayai, menawarkan sumber nektar yang kaya.
Madu mereka digunakan dalam ubat selesema tempatan, ditaburi gula-gula, dan diberikan sebagai hadiah.
Bagaimanapun, sejak 2022, pengeluaran madu Pakistan telah menurun 15 peratus, menurut Institut Penyelidikan Lebah Madu (HBRI) kerajaan di ibu negara Islamabad.
“Hujan lebat dan ribut hujan batu boleh memusnahkan bunga, dan hujan yang tidak menentu serta suhu tinggi semasa musim berbunga pada musim sejuk boleh menghalangnya daripada berkembang mekar,” kata Muhammad Khalid, seorang penyelidik di institut itu.
“Apabila bunga-bunga lenyap, populasi lebah berkurangan kerana mereka tidak dapat menemui nektar, mengakibatkan pengeluaran madu berkurangan.”
Lebah diancam secara global oleh perubahan pola cuaca, amalan pertanian intensif, perubahan penggunaan tanah dan racun perosak.
Kehilangan mereka mengancam bukan sahaja perniagaan madu, tetapi jaminan makanan secara amnya, dengan satu pertiga daripada pengeluaran makanan dunia bergantung kepada pendebungaan lebah, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian.
Lebah Pakistan pernah menghasilkan 22 jenis madu, tetapi ia telah merosot kepada 11 apabila musim berbunga semakin pendek. Tiga daripada empat spesies lebah madu negara kini terancam.
“Tempat yang dulunya hijau untuk lebah terbang 30 tahun lalu, kini tidak ada lagi,” kata peniaga madu berusia 52 tahun, Sherzaman Momaan, yang bercakap dengan penuh sayang tentang serangga bersayap itu.
“Kami tidak bergerak sekerap seperti yang kami lakukan sekarang.”
Sarangnya hampir keseluruhannya musnah akibat banjir 2010 di Khyber Pakhtunkhwa, tetapi dia percaya penebangan hutan merupakan perubahan dan ancaman jangka panjang yang paling ketara.
Yousaf Khan dan abangnya, yang berpangkalan di Islamabad, telah menghasilkan madu selama 30 tahun, bergerak dalam jarak yang dekat di sekitar Punjab untuk mencari bunga terbaik.
“Sekarang, kami pergi sejauh Sindh (wilayah) untuk suhu yang lebih panas dan untuk mengelakkan keadaan cuaca yang melampau,” beritahu Khan kepada AFP, merujuk kepada kawasan yang terletak sehingga 1,000 kilometer jauhnya.
“Lebah adalah seperti anak damit, ia memerlukan suasana dan persekitaran yang baik dan makanan yang sesuai untuk terus hidup.”
‘LAWAN DAN BUNUH’
Memindahkan lebah datang dengan risikonya sendiri.
“Jika cuaca sangat panas, atau jika jarak terlalu jauh, ada kemungkinan beberapa lebah boleh mati. Ia pernah berlaku kepada lebah saya sebelum ini,” jelas Khan.
Dalam perjalanan jauh, lebah juga mesti diberi makanan tiruan kerana mereka tidak boleh menghasilkan madu semasa dalam perjalanan.
Bergerak dengan kerap adalah mahal bagi penternak lebah di negara yang harga bahan api telah meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dan penternak lebah yang mencari cuaca yang lebih baik boleh menghadapi gangguan jika mereka ditempatkan di kawasan tanpa kebenaran daripada tuan tanah.
Di tanah tandus di luar Chamkanni di Khyber Pakhtunkhwa, Gul Badshah memerhati tanpa berdaya apabila lebah muncul dan hilang dari berpuluh-puluh kotak dalam usaha mencari bunga yang sia-sia.
“Lebah bergaduh dan membunuh sesama sendiri jika keadaan cuaca tidak sesuai dengan mereka,” katanya kepada AFP.
Badshah, yang kotaknya turut dihanyutkan dalam banjir pada 2010, dan sekali lagi pada 2022, telah berhenti melakukan perjalanan jauh. “Tiada tempat untuk ditemui. Kami tidak tahu ke mana lagi hendak pergi.”
LEBAH SEJUK
Teknologi baharu telah menawarkan harapan bertujuan memastikan lebah dalam keadaan sejuk, menangani masalah bagaimana suhu melampau mempengaruhi serangga jika bukan sumber makanan mereka.
Abdullah Chaudry, bekas penternak lebah, membangunkan sarang baharu dengan pengudaraan yang lebih baik berdasarkan inspirasi daripada negara pengeluar madu lain yang berhadapan dengan peningkatan suhu, termasuk Turkiye dan Australia.
Tanda-tanda awal mencadangkan kotak-kotak tersebut meningkatkan pengeluaran sekitar 10 peratus.
“Panas melampau tidak membuatkan lebah selesa dan ia asyik menyejukkan diri dan bukannya membuat madu,” katanya kepada AFP di pusat penyelidikan penternakan lebah di ibu negara.
“Kotak moden ini lebih luas, dan mempunyai petak yang berbeza memberikan lebih banyak ruang kepada lebah.”
Sarang yang bertambah baik hanyalah sebahagian daripada isu penyesuaian, akuinya. “Ia adalah usaha berterusan,” beritahu Chaudry kepada AFP. – AFP