KUALA LUMPUR – Komposer muda dan penyanyi, Hael, menjelaskan pengundurannya daripada kumpulan duo Azhael bukan kerana perselisihan faham.
Hael atau nama penuhnya, Hal Husaini Azmi, berkata keputusan itu dibuat selepas pertimbangan sewajarnya bersama pihak pengurusan Astro.
Beliau mengumumkan berita pengunduran itu di akaun Instagram miliknya, dua hari lalu.
“Keputusan berpecah dibuat hasil perbincangan bersama untuk perkembangan kerjaya saya dan Azhar, bukan kerana kami mempunyai masalah. Bermula saat ini, saya Hael Husaini ingin mengumumkan pengunduran diri dari kumpulan Azhael.
“Keputusan ini dibuat setelah mendapat pertimbangan sewajarnya dilakukan oleh saya dan Astro. Buat masa ini, saya masih berada di bawah pengurusan Astro Talent Management.

“Doakan kerjaya saya berjalan lancar dan dipermudahkan segala urusan selepas ini. Saya memohon maaf sekiranya pengumuman ini tidak disenangi. Sesungguhnya yang buruk itu dari saya dan yang baik dari Allah,” katanya.
Terdahulu, lagu nyanyian Azhael, Mencinta, ciptaan Omar K turut berentap pada pusingan separuh akhir Muzik-Muzik 31.
Azhael yang dianggotai oleh Mohd Azhar Osman dan Hael memulakan langkah sebagai kumpulan duo menerusi program Akademi Fantasia 2013 (AF 2013).