Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berpuasa dengan betul mampu kurangkan berat badan

    KUALA LUMPUR, 17 MAC – Memasuki minggu ketiga Ramadan, pastinya keadaan tubuh orang yang berpuasa semakin selesa dengan rutin tidak makan dan minum sepanjang hampir sembilan jam di siang hari.

    Amalan berpuasa juga sememangnya berpotensi menurunkan berat badan. Malah, kajian saintifik juga menunjukkan berpuasa dapat memberikan kesan baik kepada kesihatan manusia.

    Namun kata pakar, keadaan itu hanya akan berlaku sekiranya amalan tersebut dilakukan dengan betul, iaitu dilaksanakan seiring dengan diet yang seimbang ketika bersahur dan berbuka.

    Puasa dengan cara yang betul mampu menurunkan berat badan. – Gambar Unsplash

    Rehat dan pulihkan sistem pencernaan

    Pakar pemakanan di Pusat Kajian Kesihatan Komuniti, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Ruzita Abd Talib berkata kajian saintifik mendapati amalan berpuasa merupakan cara yang efektif untuk merawat dan memulih sistem pencernaan manusia.

    “Semasa berpuasa, sistem pencernaan tidak bekerja seperti biasa kerana kita tidak makan atau minum sepanjang hari. Ini bermakna tiada makanan yang perlu dihadam atau dicerna dan sistem pencernaan dapat berehat seketika dalam tempoh berpuasa.

    “Biasanya selepas makan, sistem pencernaan akan memproses makanan menjadi nutrien yang kemudian dibekalkan kepada tubuh. Jadi, dengan berpuasa, perut dan usus mendapat masa untuk pulih daripada ‘bekerja’ secara berterusan bagi menghadamkan makanan,’’ katanya kepada Bernama.

    Justeru, berpuasa dengan cara yang betul adalah amat penting supaya perut dan usus dapat menikmati rehat yang optimum, namun pada masa sama tidak mengganggu pembekalan nutrien mencukupi kepada tubuh.

    “Meskipun proses pencernaan tidak berlaku semasa berpuasa, tubuh tetap akan menggunakan tenaga yang disimpan dalam bentuk glikogen (tenaga yang disimpan dalam hati dan otot) dan lemak (tenaga yang disimpan dalam badan) untuk membantu kita kekal aktif menjalankan aktiviti harian.

    “Oleh itu, walaupun kita tidak makan, tubuh manusia akan tetap bekerja dengan membakar lemak yang disimpan dan lemak ini yang akan digunakan sebagai sumber tenaga kita,” jelasnya.

    Bakar lemak kurangkan kalori

    Dr Ruzita mengulas lanjut bahawa semasa berpuasa, pembakaran lemak akan berlaku dengan kadar lebih tinggi dan secara tidak langsung turut menurunkan kadar kalori dalam tubuh.

    Katanya, keadaan itu berlaku apabila lemak di dalam tubuh digunakan dengan lebih efektif.

    “Apabila kita tidak makan dan minum dalam tempoh antara 13 ke 14 jam (berpuasa), keadaan ini akan meningkatkan lagi proses pembakaran lemak.

    “Ditambah pula dengan amalan pemakanan yang sihat dan seimbang serta aktiviti fizikal lain, ia sebenarnya sudah mencukupi untuk membantu kita mengurangkan berat badan,” katanya.

    Bagaimanapun katanya, mereka yang berhasrat menyelam sambil minum air, iaitu berpuasa sebagai ibadah dan juga diet untuk menguruskan badan, perlu mengawal pengambilan makanan sepanjang Ramadan seperti mengelak makan berkalori tinggi agar penurunan berat berlaku dengan lebih berkesan.

    “Elakkan pengambilan makanan segera dan ultraproses seperti makanan yang mempunyai pemanis buatan serta pewarna dan perisa tiruan, kerana makanan seperti ini mengandungi garam dan lemak trans yang tinggi.

    “Makanan tinggi kalori ini tidak membekalkan nutrien yang lengkap dan ia juga menyebabkan kita berasa cepat dahaga ketika berpuasa,” tambahnya.

    Hindari puasa ekstrem

    Dr Ruzita berkata ada golongan yang mengamalkan puasa secara ekstrem, iaitu berpuasa berpanjangan dengan mengelak pemakanan seimbang ketika berbuka. Selain itu, mereka hanya mengambil makanan dalam kuantiti yang amat kecil, tidak mengambil nasi atau berbuka dengan satu menu sahaja.

    Jelasnya, individu yang mengamalkan puasa lebih 20 jam secara kerap, berdepan risiko kesihatan dan masalah penghadaman apabila berlakunya peningkatan asid hidroklorik (HCL) di dalam perut.

    “Fungsi HCL adalah untuk membantu pencernaan makanan. Semasa berpuasa, kekurangan makanan di dalam perut menyebabkan penghasilan asid HCL berkurang dan ini merehatkan sebentar sistem pencernaan daripada merembeskan asid yang banyak.

    “Namun, jika berpuasa secara ekstrem atau berpanjangan, individu berkemungkinan berdepan masalah kesihatan lain termasuk pedih ulu hati, gastrik dan ulser perut serta berisiko menghadapi masalah seperti sembelit dan ketidakselesaan perut,” katanya.

    Dr Ruzita berkata mereka yang tidak bersahur juga berisiko mengalami masalah itu.

    “Makan ketika sahur membekalkan sumber tenaga penting yang akan membantu individu bertahan di siang hari. Kegagalan bersahur berisiko menyebabkan penurunan kadar kandungan gula dalam darah dan boleh mengakibatkan seseorang itu pening kepala, mual dan cenderung pitam,” katanya.

    “Selain itu, sekiranya tidak mengambil sebarang makanan ataupun minuman ketika bersahur boleh menyebabkan dehidrasi kerana tubuh kekurangan cecair serta kekurangan nutrien penting yang diperlukan untuk kekal bertenaga.

    “Ringkasnya, bersahur adalah sangat penting untuk memastikan badan kita berfungsi dengan baik semasa berpuasa sepanjang hari,” jelas beliau lagi.

    Kawal nafsu makan

    Menurut Dr Ruzita, mereka yang ingin menurunkan berat badan atas apa juga alasan, perlu menjaga pemakanan dan tidak melakukan diet melampau.

    “Yang penting ialah kawal nafsu makan. Jangan ambil makanan dengan jumlah yang banyak sewaktu berbuka, utamakan minum air kosong serta kurangkan juga kuih-muih atau manisan supaya kita tidak menambah kalori dalam setiap hidangan.

    Utamakan minum air kosong. – Gambar Pexels

    “Pastikan hidangan ada sayur dan buah-buahan segar seperti tembikai, betik serta buah oren yang merupakan sumber serat, vitamin dan mineral kerana makanan seperti ini bukan sahaja penting untuk kesihatan tubuh, bahkan memberikan rasa kenyang ketika berpuasa,” katanya.

    Pastikan hidangan ada buah-buahan segar. – Gambar Unsplash

    Menurut beliau, sebaiknya amalkan konsep Pinggan Sihat Malaysia, iaitu suku suku separuh walaupun pada bulan Ramadan.

    Pada masa sama, orang ramai juga diingatkan untuk kekal aktif selain mendapatkan tidur yang mencukupi bagi memastikan  berat badan berada dalam julat normal berdasarkan Indeks Jisim Badan (BMI).

    “Ramadan juga harus menjadi bulan yang produktif. Lakukan senaman ringan seperti briskwalk setiap hari jika berkemampuan, antara 30 hingga 60 minit sebelum berbuka puasa.

    Cuba briskwalk sebelum berbuka. – Gambar Unsplash

    “Cara ini adalah langkah terbaik yang boleh membantu mengurangkan lemak (dalam badan), sekali gus berupaya menurunkan berat badan dalam tempoh berpuasa yang berbaki dua minggu sahaja lagi,” katanya. – Bernama 

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda