Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Umat Islam dianugerahkan dengan bulan Ramadan yang penuh berkat lebih 1,400 tahun lalu dan terdapat banyak kajian saintifik yang mengatakan kebaikannya terutama dalam memperkasa imunisasi tubuh manusia dan juga binatang.
Malahan mereka yang mempunyai penyakit diabetes, penuaan, kardiovaskular juga dikatakan bertambah baik semasa berpuasa dan ketika mengamalkan puasa kerana terdapat banyak faktor pertumbuhan semula (regeneration).
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan sama ada berpuasa mampu meningkatkan imunisasi sistem badan seseorang pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
“Baru-baru ini mungkin ada ramai orang membaca tentang intermittent fasting jua yang merupakan bagus untuk sistem badan, seperti puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
“Oleh itu, secara saintifik dalam beberapa tahun ini banyak dibuktikan keindahan agama kita (Islam) terutama dalam berpuasa,” katanya lagi.
Beliau turut mengongsikan bagaimana puasa yang boleh meningkat imunisasi iaitu dengan cara mengikut panduan yang diberikan selama ini. “Contohnya kalau berbuka jangan berhabis-habisan, makan secara sederhana dahulu, tunaikan sembahyang Maghrib dan Isyak, dan kemudiannya boleh meneruskan makan.
“Kita ikutkan juga cara pemakanan seperti yang diterangkan sebelum ini seperti memakan sayur-sayuran, pengurangan karbohidrat dan sebagainya,” tambahnya. Yang Berhormat Dato percaya dengan dianugerahkan bulan Ramadan seperti ini, ia akan memberikan manfaat kepada kita.