Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berpuasalah sebaiknya

    ANTARA tujuan berpuasa adalah agar umat Islam dapat merasakan kesukaran yang dilalui oleh fakir miskin yang benar-benar kekurangan makanan.

    Jadi puasa sepatutnya bukan setakat berlapar dan dahaga hanya pada siang hari namun sepanjang hari. Ini bermakna jika berbuka puasa, makan sepatutnya secara ala kadar. Bukan selagi boleh muat perut.

    Puasa Ramadan adalah tuntutan syariat di mana turutannya ialah yang ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan solat lima waktu. Rukun Islam adalah pelengkap kepada Rukun Iman di mana kedua-duanya wajib difahami dan dipraktikkan secara bersungguh-sungguh.

    Sebagai umat Islam yang mengaku beriman dan cintakan Allah Subhanahu Wata’ala, sewajarnya kita mencontoh sunnah Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam (S.A.W).

    Allah berfirman yang bermaksud:

    “Katakanlah: ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, ayat-31)

    Puasa sepatutnya bukan setakat berlapar dan dahaga hanya pada siang hari namun sepanjang hari. Ini bermakna jika berbuka puasa, makan sepatutnya secara ala kadar. Bukan selagi boleh muat perut.
    Puasa sepatutnya bukan setakat berlapar dan dahaga hanya pada siang hari namun sepanjang hari. Ini bermakna jika berbuka puasa, makan sepatutnya secara ala kadar. Bukan selagi boleh muat perut.

    Islam utamakan kualiti

    Sesungguhnya Islam mengutamakan kualiti berbanding kuantiti. Ibadah berkualiti hanya boleh didapati dengan menuruti perintah dan larangan Allah Subhanahu Wata’ala dan sunnah Rasulullah S.A.W.

    Allah Subhanahu Wataala berfirman maksudnya:

    “Barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, niscaya Allah memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah kejayaan yang amat besar.” (Surah An-Nisaa, ayat-13)

    “Barangsiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan barangsiapa yang berpaling atau ingkar, maka (janganlah berdukacita wahai Muhammad), kerana kami tidak mengutus mu untuk menjadi pengawal atau pemelihara bagi mereka (yang memelihara mereka daripada melakukan kesalahan).” (Surah An-Nisaa, ayat- 80)

    Maksudnya sesiapa yang taat kepada Rasulullah S.A.W secara automatik mereka taat kepada Allah Subhanahu Wataala. Jadi, seseorang yang mengaku beriman sewajarnya menuruti sunnah Rasulullah S.A.W, bukan setakat ikut cakap-cakap orang lain.

    Amalan ketika berbuka

    Rasulullah S.A.W menyegerakan berbuka puasa. Baginda pernah bersabda,

    “Manusia itu sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Rasulullah S.A.W berdoa ketika berbuka, baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya doa orang yang berpuasa itu tidak tertolak ketika dia berbuka.” (Ibnu Majah)

    Menurut hadis sahih, Baginda juga membaca bismillah sebelum makan dan membaca doa setelah selesai makan. Baginda berbuka dengan makanan yang mudah dimakan dan mudah dicerna.

    Daripada Anas Radiallahu Anhu berkata, “Rasulullah S.A.W berbuka puasa dengan beberapa biji rutab (tamar basah) sebelum solat, jika tiada rutab Baginda berbuka dengan tamar, dan sekiranya tamar tiada baginda akan berbuka dengan air.” (Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi)

    Jika makanan telah dihidangkan? Menyentuh hal ini Baginda bersabda, “Apabila dihidangkan makanan maka mulaikanlah dengannya (makanan itu) sebelum kamu solat Maghrib dan janganlah kamu tergopoh-gapah ketika makan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda