BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Seorang lelaki tempatan telah disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah, Bandar Seri Begawan, hari ini atas kesalahan melakukan sariqah (curi) di bawah Bab 55(3)(b) dari Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Mohamad Hafinee bin Pengiran Haji Marali, 35, telah didapati mencuri sepasang kasut dan sepasang sarung tangan dari sebuah kedai di kawasan Gadong Central pada 29 Disember 2019 kira-kira jam 1:13 petang.
Hasil siasatan yang dijalankan oleh Balai Polis Pusat, Bandar Seri Begawan mendapati perbuatan tertuduh telah dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah telah memperingatkan bahawa seorang yang beragama Islam perlu tahu bahawa kesalahan yang dilakukan bukan sahaja dihukum di dunia malahan lebih penting lagi akan mendapat balasan di akhirat.
Selain itu, mahkamah juga mempertimbangkan bahawa pesalah mempunyai rekod kesalahan mencuri sebelum ini. Oleh itu, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas pesalah bermula dari tarikh pesalah ditahan polis pada hari kejadian.
Pendakwaan dijalankan oleh Pendakwa Syarie dari Bahagian Pendakwaan Syarie, KHEU.