Saturday, April 26, 2025
31.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersama banteras jenayah penyeludupan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Syariat agama Islam menganjurkan umatnya untuk saling bantu-membantu bagi memastikan kesejahteraan dan kemaslahatan manusia dalam pelbagai aspek kehidupan berdasarkan lima prinsip utama maqasid syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

    Melalui prinsip itu, Islam mendorong usaha yang menyumbang kepada peningkatan ekonomi, keselamatan dan keamanan masyarakat.

    Perkara itu ditekankan oleh khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini bertajuk Membenteras Penyeludupan Tanggungjawab Bersama.

    Menurut khatib, kita juga dituntut untuk tidak berdiam diri terhadap kemungkaran atau perbuatan maksiat, ini kerana tugas Amar Ma’ruf Nahi Munkar itu diwajibkan kepada setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah dan rasulNya.

    “Allah SWT akan menurunkan azab jika bersikap berdiam diri dalam perkara mungkar,” tegasnya.

    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Selaku rakyat dan penduduk yang mencintai negara, kita bertanggungjawab untuk mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah, agar kesejahteraan dan keharmonian negara dapat dikekalkan.

    Antara agensi keselamatan kerajaan yang diamanahkan untuk mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian negara ialah Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) yang juga bertanggungjawab membanteras dan mencegah daripada berlakunya jenayah dan isu penyeludupan rentas sempadan di negara ini.

    Agensi itu mengawal sempadan di pos-pos selain memantau kemasukan barang ke negara ini melalui udara, air dan juga darat.

    Pengawalan ini bertujuan bagi memastikan barangan yang dibawa masuk atau keluar dari negara ini, selamat dan mempunyai permit demi menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan masyarakat terutama dari segi aspek barangan tegahan dan sekatan.

    Perbuatan menyeludup, tegasnya, bukan sahaja berlaku ke atas barang tegahan dan sekatan tetapi penyeludupan juga berlaku atas barang-barang bersubsidi kerajaan.

    Khatib juga mengingatkan rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa memanfaatkan pemberian subsidi kerajaan yang diberikan seperti minyak kenderaan, beras dan seumpamanya kerana ia bertujuan bagi membantu meringankan beban rakyat negara ini.

    Aktiviti penyeludupan membawa banyak kesan buruk dan mengakibatkan kerugian pada negara, dan ini antaranya mengurangkan pendapatan negara melalui kutipan hasil cukai, menggalakkan berlakunya aktiviti jenayah, memberi kesan negatif pada industri dalam negara di mana peniaga yang jujur akan memberi cukai, tetapi penyeludup dengan sewenang-wenang meraih keuntungan tanpa memberi sebarang cukai.

    Tanggungjawab untuk meningkatkan kesejahteraan negara ini tidak hanya terletak di bawah pihak berkuasa, tegasnya, ia merupakan amanah bersama yang harus dipikul oleh setiap lapisan masyarakat.

    Khatib turut menyeru untuk sama-sama berganding bahu dalam menunaikan tanggungjawab demi mencapai kemakmuran dan kestabilan ekonomi negara dengan membantu pihak kerajaan membanteras dan memberhentikan aktiviti penyeludupan barang tegahan seperti minuman keras, rokok, daging yang diragukan kehalalannya dan sebagainya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda