Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 31 Ogos – Dengan matlamat untuk terus menjaga kecantikan persekitaran serta mewujudkan keselesaan masyarakat ketika menziarahi tanah perkuburan di negara ini, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiudang dengan kerjasama pelbagai agensi di Daerah Tutong telah mengadakan kempen bergotong-royong di Tanah Perkuburan Islam Bukit Dapa, Kampung Kiudang, pagi tadi.
Kerja memucang-mucang itu telah diketuai oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung dan turut disertai oleh anggota Pasukan Polis Diraja Brunei cawangan Balai Polis Lamunin Daerah Tutong, dari Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong, penghulu dan ketua-ketua kampung di Mukim Kiudang, ahli-ahli pengawasan kejiranan (PK) Kampung Kiudang, Kesukarelawan Daerah Tutong (SUKA), Kumpulan Libasan Amal, para penduduk Mukim Kiudang dan orang ramai.
Dengan adanya aktiviti sebegini, ia secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan seterusnya meningkatkan perpaduan dalam pelbagai lapisan masyarakat di Daerah Tutong khususnya dalam mengungkayahkan aktiviti berkebajikan.
Di samping itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan lagi pembangunan kerohanian dan serta memupuk keinginan untuk berbakti dan menyumbang kepada masyarakat dan negara.
