Friday, July 5, 2024
29 C
Brunei

    -

    Bersama berusaha tingkat bekalan darah negara

    Oleh SIM Y.H. –

    Setiap tahun, negara-negara di seluruh dunia menyambut Hari Penderma Darah Sedunia pada 14 Jun dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang keperluan darah dan produk darah yang selamat serta untuk menyatakan penghargaan kepada individu-individu yang menderma darah secara sukarela, tanpa mengharapkan sebarang imbalan atas pemberian darah mereka yang boleh menyelamatkan nyawa insan-insan yang memerlukan pemindahan darah.

    Pada 2024, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), rakan-rakan kongsi dan seluruh masyarakat di dunia bersatu meraikan Hari Penderma Darah Sedunia yang membawa tema, Meraikan 20 Tahun Memberi: Terima Kasih, Penderma Darah!

    Ulang tahun ke-20 Hari Penderma Darah Sedunia itu merupakan peluang yang terbaik untuk mengucapkan terima kasih kepada penderma darah di seluruh dunia atas pengorbanan mereka selama ini dan juga menghargai impak yang sangat jelas serta mendalam terhadap pesakit dan penderma.

    Ia juga merupakan masa yang tepat untuk menangani cabaran yang berterusan dan mempercepatkan kemajuan ke arah masa depan di mana pemindahan darah yang selamat boleh diakses secara universal.

    SAMBUTAN HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA 2024

    Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2024 diadakan bukan sahaja untuk merakamkan ucapan terima kasih dan mengiktiraf jutaan penderma darah sukarela yang telah banyak menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan jutaan orang di seluruh dunia, bahkan juga untuk mencapai perkara-perkara berikut iaitu untuk mempamerkan pencapaian dan cabaran program darah di negara ini serta mengongsikan amalan-amalan terbaik dan pengajaran yang dipelajari.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam memastikan bekalan darah dalam negara sentiasa mencukupi. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

    Ia juga diadakan untuk menekankan keperluan yang berterusan bagi pendermaan darah yang tetap, sukarela dan tanpa imbalan untuk mencapai akses universal kepada pemindahan darah yang selamat serta untuk menggalakkan budaya menderma darah secara berterusan dalam kalangan golongan muda dan orang awam dalam usaha meningkatkan kepelbagaian dan kemampanan bekalan darah.

    USAHA NEGARA BRUNEI DARUSSALAM MENYOKONG BUDAYA MENDERMA DARAH

    Negara Brunei Darussalam rancak mengadakan aktiviti dan kempen pendermaan darah secara berterusan dengan Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyelaraskan kempen-kempen bergerak pendermaan darah di keempat-empat daerah.

    Pada 2023, Pusat Pendermaan Darah telah mencatat sebanyak 17,891 kutipan darah yang disumbangkan oleh 14,267 orang penderma darah, termasuk 4,099 orang penderma darah baharu yang berdaftar.

    Matlamat yang disarankan oleh pihak WHO bagi memenuhi keperluan negara dalam menangani situasi kecemasan ialah pencapaian tahunan jumlah penderma darah dalam lingkungan 1 hingga 3 peratus daripada jumlah keramaian penduduk.

    Negara Brunei Darussalam pada 2023 telah mencapai sebanyak 3 peratus dan perangkaan itu adalah konsisten dengan pencapaiannya sejak 2014.

    Perangkaan berkenaan dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan Sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2024.

    Dalam memastikan pencapaian itu sentiasa berterusan, Pusat Pendermaan Darah sentiasa aktif mempelawa dan menggalakkan pengelolaan kempen-kempen pendermaan darah secara sukarela bagi memperkasa dan memperluaskan lagi aktiviti sepertinya semata-mata untuk menarik lebih ramai lagi penderma darah, sama ada yang sedia ada atau yang belum pernah menyumbangkan darah.

    Di samping itu, Pusat Pendermaan Darah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan tabung-tabung darah di semua hospital daerah juga terus berusaha untuk menyediakan akses kepada darah dan produk darah yang selamat untuk pesakit dalam kuantiti yang mencukupi kerana ia adalah salah satu komponen yang penting dalam memastikan keberkesanan sistem kesihatan di negara ini.

    Dengan yang demikian, Kementerian Kesihatan menyeru supaya penderma-penderma darah dan orang ramai yang berpotensi untuk mendermakan darah untuk datang ke Pusat Pendermaan Darah atau mana-mana tabung darah di negara ini bagi menjalankan usaha yang penuh berkebajikan itu.

    Manakala, agensi-agensi kerajaan, institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta dan NGO adalah juga diseru untuk sama-sama menganjurkan kempen-kempen pendermaan darah demi membantu mengekalkan stok bekalan darah pada tahap yang sihat di negara ini.

    PENUBUHAN JAWATANKUASA TRANSFUSI HOSPITAL DAN JAWATANKUASA SISTEM HEMOVIGILANCE

    Bagi setiap unit darah yang didermakan, ia akan dapat menyelamatkan tiga nyawa pesakit.

    Bagi memastikan darah yang diberikan kepada pesakit adalah selamat dan berkualiti tinggi dan bagi memastikan akses universal kepada darah berkenaan, Kementerian Kesihatan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja yang dinamakan Jawatankuasa Transfusi Hospital pada Ogos 2023.

    Penubuhan jawatankuasa kerja itu adalah untuk mentadbir urus perkhidmatan pemindahan darah secara klinikal di hospital-hospital dan bertanggungjawab ke atas penyampaian proses dan amalan transfusi darah yang selamat dan sesuai dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan pesakit.

    Jawatankuasa itu juga berperanan dalam penyediaan forum yang aktif untuk memudahkan komunikasi antara pihak-pihak yang berkepentingan, mengesyorkan dan melaksanakan audit klinikal, memantau amalan transfusi berbanding institusi kebangsaan atau antarabangsa serta menyediakan pendidikan yang akan menyumbang kepada perubahan yang baik dalam amalan transfusi.

    Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Makmal juga telah menubuhkan Jawatankuasa Sistem Hemovigilance pada Oktober 2023 di mana penubuhannya bertujuan untuk memantau keberkesanan sistem transfusi di negara ini dari segi keselamatan penderma, kualiti dan keselamatan produk darah serta keselamatan transfusi darah.

    Penubuhan jawatankuasa itu akan membolehkan kualiti sistem transfusi di negara ini terus dipertingkatkan melalui tindakan pembetulan dan pencegahan untuk meningkatkan keselamatan pesakit, meningkatkan keselamatan penderma dan mengurangkan pembaziran sepertimana yang disyorkan oleh WHO.

    “Saya dan seluruh warga Kementerian Kesihatan ingin meraikan dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap penderma darah di Negara Brunei Darussalam yang telah banyak berjasa meluangkan masa untuk menderma darah secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang imbalan demi membantu pesakit-pesakit yang amat memerlukannya,” kata Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dalam perutusannya.

    “Tidak lupa juga diucapkan terima kasih banyak kepada agensi-agensi kerajaan, institusi pendidikan, pasukan-pasukan berseragam, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan serta individu-individu perseorangan yang terlibat dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti dan menganjurkan kempen-kempen derma darah selama ini.

    “Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah juga kepada semua pegawai dan kakitangan di Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS dan tabung-tabung darah di Hospital Suri Seri Begawan, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam di atas usaha yang berterusan dan tidak henti-henti dalam memastikan bekalan darah yang selamat sentiasa mencukupi.”

    Dalam hubungan itu, sempena Hari Penderma Darah Sedunia, beliau menyeru kita untuk bersama-sama meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perpaduan dalam langkah memastikan bekalan darah mencukupi dan selamat, melalui aktiviti-aktiviti pendermaan darah secara sukarela yang berterusan.

    “Sehubungan dengan ini, saya juga ingin menyeru dan menggalakkan mereka yang belum pernah menderma darah untuk mula tampil demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.

    “Hanya dengan ini, akses kepada bekalan darah yang mencukupi akan dapat terus dinikmati oleh pesakit-pesakit yang memerlukan pemindahan darah yang selamat dan tepat pada masanya,” tekannya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ keluarkan panduan guna peranti di sekolah

    WELLINGTON, 5 JULAI - Memandangkan kanak-kanak New Zealand (NZ) mencatat kadar penggunaan peranti tertinggi di dunia, garis panduan baharu untuk membantu mengimbangi risiko kesihatan...