Bersama ceriakan anak-anak istimewa

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Bersempena Bulan Kesedaran Sindrom Down pada Oktober lalu yang bertemakan Spread Your Love, Once Step Closer, ahli-ahli jawatankuasa Malam Minggu Pusat Belia (MMPB) dengan kerjasama EA Production melaksanakan tanggungjawab sosial dengan menyampaian sumbangan kepada 30 anak istimewa di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong, baru-baru ini.

Penyampaian sumbangan yang merupakan hasil kutipan daripada orang ramai dan beberapa buah syarikat itu telah disertai oleh Presiden MMPB, Hajah Noor Monasaliena @ Suzie binti Haji Mohd Salleh; Timbalan Presiden MMPB, Dayang Aeta Naqiah Hariraya dan ahli-ahli MMPB lain serta EA Production.

Menurut Hajah Noor Monasaliena, meskipun negara masih menghadapi gelombang kedua penularan COVID-19, ia bukanlah penghalang untuk mereka terus melangkah bersama membantu golongan masyarakat yang memerlukan dan tidak terkecuali anak-anak istimewa.

“Mereka juga memerlukan perhatian kita di kala masyarakat berdepan dengan cabaran pandemik pada masa kini agar mereka merasa disayangi,” tambahnya.

Dengan adanya kegiatan berkenaan, MMPB juga berharap akan terus sama-sama memberikan bantuan dan membantu pihak kerajaan dalam menangani COVID-19 di negara ini dengan menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Antara yang turut menghulurkan dan sekali gus menjayakan inisiatif berkenaan ialah McDonald Brunei dan Mc Cafe, Pusat Pembangunan Belia, Printmartz, Snappeas, HSN Fitness, Perfect Vision, Kolej IGS, Guerrilla Artchitects, Marvelous Brunei dan rakan-rakan MMPB.

Salah seorang anak istimewa menerima sumbangan yang disampaikan oleh ahli Jawatankuasa MMPB, baru-baru ini. – Gambar serahan MMPB