Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan hari ini mengadakan solat Fardu Zuhur diikuti dengan solat Sunat Hajat dan bacaan Ratib Al-Attas serta Doa Kesyukuran bersempena Sambutan Hari Sedunia untuk Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2021 pada majlis yang diadakan di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin.
Majlis bersempena Hari Sedunia untuk Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja disambut pada 28 April setiap tahun khusus bagi semua warga kerja yang terlibat dalam industri pembinaan di negara ini.
Bagi memberkati lagi majlis, Doa Selamat dibacakan bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan semua warga kerja yang terlibat dalam industri pembinaan agar terpelihara dari sebarang kejadian berbahaya.
Sebagai usaha berterusan JKR untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman dalam aspek keselamatan dan kesihatan terutamanya bagi semua warga kerja yang terlibat dalam industri pembinaan, sambutan ini juga akan disusuli dengan program Minggu Keselamatan dan Kesihatan, JKR (MKK 2021).
Turut hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir Awang Norazmi bin Othman; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta para jemputan dari kementerian yang lain.
