LONDON, 2 NOV – Ratu Elizabeth II semalam menggesa pemimpin dunia supaya berganding bahu dalam ‘perjuangan sama’ membendung perubahan iklim bagi ‘menyelesaikan masalah paling sukar diatasi itu.’
Baginda bertitah demikian dalam satu kenyataan melalui rakaman video pada sidang kemuncak iklim COP26 yang menyaksikan pemimpin dunia berkongsi kebimbangan mengenai krisis alam itu.
Baginda bertitah, keadaan pencemaran alam pasti akan menjadi semakin buruk dalam masa singkat, sekiranya tidak ditangani segera.
“Jika kita gagal menghadapi cabaran ini, semua masalah lain akan menjadi tidak lagi penting.
“Tiada yang dalam kalangan kita memandang remeh cabaran mendatang: namun sejarah telah menunjukkan bahawa apabila negara-negara bersatu dalam perjuangan yang sama, ruang untuk harapan sentiasa ada,” titah Baginda.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memberi amaran tegas mengenai krisis iklim yang sedang melanda dunia.
“Kita sedang menggali lubang kubur sendiri,” katanya merujuk kepada perbuatan tidak bertanggungjawab mengeksploitasi sumber alam yang masih berlaku. – AFP
