Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Dalam usaha untuk menjaga kebersihan kawasan masjid, ahli-ahli Takmir Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Kampung Tungku dan penduduk sekitarnya telah mengadakan gotong-royong menebang pokok dan menanam bunga sempena lima tahun penubuhan masjid berkenaan, di sini, hari ini.
Kempen yang disertai oleh lebih 30 orang itu antara lain bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan jemaah masjid, selain membina hubungan dengan penduduk kampung serta meningkatkan kesedaran dalam menjaga kebersihan masjid yang merupakan tanggungjawab bersama.
Dalam memeriahkan lagi penubuhan masjid berkenaan, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan yang antaranya aktiviti mewarna untuk kanak-kanak selain Peraduan Membaca Surah Al-Fatihah yang akan diadakan pada sebelah malam.
