Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Keharmonian dan kesejahteraan sebuah kampung memang menjadi idaman semua penduduk namun untuk merealisasikan harapan itu perlu digalas bersama oleh semua peringkat termasuk kepemimpinan kampung dan anak buah kampung.
“Masyarakat kampung juga perlu sama-sama berganding bahu untuk memastikan kejayaan dalam apa juga program dan aktiviti yang menjurus kepada mengeratkan dan perpaduan kampung.”
Perkara itu ditekankan oleh Pemangku Ketua Kampung, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kawasan II Kampung Mentiri, Haji Nizam bin Haji Julaihi pada majlis kesyukuran yang berlangsung di salah sebuah restoran di Mentiri, kelmarin.
Majlis berkenaan diadakan atas kejayaan mengendalikan majlis Khatam Al-Quran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77, majlis sambutan Ilal Hijrah 1445 dan majlis meraikan jemaah haji yang baru pulang dari tanah suci selepas menunaikan rukun haji pada tahun ini.
Beliau melahirkan rasa terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa dan penduduk kampung yang telah memberikan kerjasama yang padu di samping menyambut baik segala sumbangan buah fikiran dan material yang diberikan bagi menjadikan majlis-majlis berkenaan berlangsung dengan jaya dan sempurna.
Tambahnya, beliau turut berasa yakin dengan kesungguhan dan komitmen yang diberikan oleh AJK, akan menjadi model terbaik kepada masyarakat kampung khususnya golongan muda dan ia perlu dikekalkan dan ditingkatkan bagi memajukan lagi
kampung.
Pada majlis itu, Haji Tamit bin Haji Alias yang berusia 77 tahun telah dipilih sebagai penerima Anugerah Ilal Hijrah 1445 atas sumbangan dan penglibatan yang aktif menyumbang peranan khususnya dalam majlis perundingan kampung (MPK) dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) RPN Kampung Mentiri
Kawasan II.
Beliau yang mempunyai empat orang anak dan enam orang cucu, telah memberikan komitmen yang tinggi dalam menyumbang tenaga dan bersama-sama ahli lain bergotong-royong untuk membisaikan program dan aktiviti kendalian MPK dan JKKK di kawasan berkenaan.
Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Haji Ibrahim yang juga Ketua Kampung Sungai Buloh hadir bagi menyampaikan cenderamata berkenaan.



