Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Statistik menunjukkan bahawa terdapat peningkatan kes-kes berkaitan kesihatan mental di Brunei Darussalam, termasuk peningkatan jumlah individu yang mendapat rawatan dan sokongan melalui perkhidmatan psikiatri, kaunseling dan komuniti.
Walaupun angka tersebut membimbangkan, ia juga mencerminkan kesedaran dan ketersediaan masyarakat untuk mendapatkan bantuan serta mengurangkan stigma terhadap kesihatan mental
Perkara tersebut disentuh oleh Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib semasa menghadiri Konsultasi mengenai Hak Kesihatan Mental (AHRD 29 (1)) dalam Era Digital dengan Fokus Kepada Melindungi Kesihatan Mental Kanak-kanak yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Negara Brunei Darussalam di Hotel Centrepoint, Gadong, hari ini.
Yang Berhormat Datin juga menyentuh cabaran baharu yang timbul daripada perkembangan teknologi digital seperti kebangkitan kecerdasan buatan (AI), yang membawa implikasi terhadap kesihatan mental, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Dengan kadar internet di Negara Brunei Darussalam yang mencapai lebih 99 peratus bagi 4G dan 97 peratus bagi 5G, beliau menegaskan meskipun kemajuan dalam kesalinghubungan ini merupakan sesuatu yang membanggakan, akan tetapi ia juga menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan mental masyarakat.


Yang Berhormat Datin juga mengiktiraf pendekatan seluruh negara yang diambil oleh Brunei dalam strategi kesihatan awamnya melalui penggunaan aplikasi BruHealth, program jangkauan kesihatan mental dan penglibatan komuniti yang bertujuan mengukuhkan daya tahan emosi, terutamanya dalam kalangan golongan muda.
Selain menyatakan setiap orang mempunyai tanggungjawab bersama untuk melindungi nilai kemanusiaan dalam era digital ini dan menggesa agar kerjasama antara kerajaan, pendidik, ibu bapa, sektor swasta dan platform digital diperkukuhkan.
“Kerjasama ini hendaklah merangkumi perkongsian maklumat dan amalan terbaik di peringkat serantau, pelaburan dalam literasi digital dan kesihatan mental, serta sokongan kepada ibu bapa dan guru sebagai barisan hadapan dalam membimbing anak-anak,” jelasnya.
Beliau turut menyeru semua pihak termasuk kerajaan, penggubal dasar, para pendidik serta ibu bapa untuk terus melangkah ke hadapan dengan empati dan menyeru agar konsultasi ini bukan saja sekadar perbincangan tetapi membuahkan hasil untuk meningkatkan komitmen nyata dan tindakan kukuh yang mengimbangi akses kepada maklumat dengan perlindungan kesihatan mental.
Di sesi itu, Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Awang Ajman bin Haji Meludin, sebagai wakil Brunei Darussalam ke AICHR dalam ucapan alu-aluannya antara lain menekankan kepentingan melindungi kesejahteraan mental kanak-kanak pada era digital dengan pendekatan yang seimbang dan berperikemanusiaan.
Selain menyeru kepada perkongsian amalan terbaik dan usaha kolektif untuk mewujudkan persekitaran digital yang selamat dan berdaya tahan bagi generasi muda ASEAN.
Manakala, Edmund Bon Tai Soon selaku Pengerusi AICHR dalam ucapannya menekankan beliau berbesar hati menghadiri acara julung kali AICHR Brunei Darussalam, dan menyatakan tema perundingan hari ini adalah selaras dengan tema Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur iaitu mengenai keterangkuman dan kemampanan.
Konsultasi tersebut diakhiri dengan sesi soal jawab yang memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai pilihan dasar rentas sektor, di samping merumuskan hasil perbincangan dan mengenal pasti langkah seterusnya, bagi memperkukuh kerjasama serta hala tuju serantau dalam melindungi kesejahteraan mental kanak-kanak pada era digital.
