Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersama mendukung transformasi tenaga

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt – Bagi membincangkan kepentingan tenaga mampan dan inovasi serta transformasi tenaga bersih bagi serantau, Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) bagi sesi ke-36 telah diadakan di Singapura baru-baru ini.

    Pada mesyuarat itu, Menteri Tenaga, Tenaga Manusia dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein telah mewakili Negara Brunei Darussalam bagi mesyuarat yang bertemakan ‘Transformasi Tenaga: Melabur, Memperbaharui dan Mengintegrasi.’

    Mesyuarat tersebut telah dipengerusikankan oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian Singapura, Tuan Yang Terutama Chan Chun Sing bersama naib pengerusi Menteri Tenaga Thailand, TYT Dr Siri Jirapongphan.

    Mesyuarat berkenaan membincangkan mengenai Ulasan Rangka Pertengahan bagi Pelan Tindakan mengenai Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2016-2025 Fasa pertama: 2016-2020 yang melibatkan strategi mengenai tujuh program iaitu Sistem Tenaga ASEAN, Saluran Paip Gas Rentas ASEAN, Arang Batu dan Teknologi Arang Batu Bersih, Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga, Tenaga Yang Boleh Diperbaharui, Dasar dan Perancangan Tenaga Serantau dan Tenaga Nuklear Awam.

    Dengan skor 3.65 daripada 5, ASEAN dijangka mampu mencapai sasaran kolektifnya menjelang tahun 2020 yang akan menyumbang kepada pencapaian Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Wawasan ASEAN 2025.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bergambar ramai bersama perwakilan-perwakilan lain yang hadir ke mesyuarat tersebut.

    Pada mesyuarat itu juga turut diadakan mesyuarat lain yang berkaitan yang berlangsung seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-15 Campur Tiga (AMEM+3) dan Mesyuarat Sidang Kemuncak Menteri-Menteri Tenaga Asia Timur ke-12 (EAS EMM).

    Pada EAS EMM ke-12, Brunei Darussalam berpeluang untuk melaporkan kepada menteri-menteri tenaga EAS tentang kemajuan Aliran Kerja Penghasilan Tenaga Boleh Diperbaharui dan Alternatif (RAPG) di bawah Pasukan Petugas Kerjasama Tenaga EAS sebagai pengerusi bersama aliran kerja berkenaan. Mesyuarat mengalu-alukan Republik Korea sebagai pengerusi Bersama baharu bagi Aliran Kerja RAPG dan pelan baharunya untuk memperbaharui teknologi simpanan dan penggunaan hidrogen.

    Sementara itu, AMEM+3 ke-15 pula membincangkan mengenai kerjasama berterusan bersama Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea. Mesyuarat mengalu-alukan aktiviti baharu yang dicadangkan mengenai pasaran LNG, potensi hidrogen di rantau serta dialog tenaga bersih.

    Mesyuarat itu juga menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Tenaga antara ASEAN dan Agensi Antarabangsa Tenaga Yang Boleh Diperbaharui (IRENA) untuk memperkukuhkan kerjasama dan membantu ASEAN dalam menambah penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui dan mempercepatkan peralihan kepada masa depan tenaga yang mampan. Menandatangani bagi pihak ASEAN adalah Setiausaha Agung ASEAN, Dato Paduka Lim Jock Hoi, dan bagi pihak IRENA adalah Ketua Pengarah IRENA, Adnan Z. Amin.

    Antara tumpuan utama mesyuarat itu ialah termasuk kepentingan mencapai keseimbangan di antara kemampanan tenaga, kesalinghubungan, kemudahan dan kemampuan membayar. Permintaan elektrik di ASEAN dijangka bertambah dan ia memerlukan langkah-langkah penting untuk melaksanakan transformasi tenaga bersih.

    Peranan inovasi dan pelaburan dikenalpasti sebagai salah satu pelancar kerja utama yang mungkin merapatkan jurang pembangunan terhadap transformasi yang dihasratkan.

    Dalam melangkah maju ke depan, kepentingan untuk menjalin kerjasama serantau yang kukuh di kalangan negara ASEAN diberikan keutamaan, dengan harapan dapat bekerjasama untuk mempercepatkan pelaksanaan APAEC.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda