Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Bersama menyahut cabaran 20 bilion langkah

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Dalam usaha menggalakkan orang ramai untuk menjalani gaya hidup sihat dan kekal aktif, Kementerian Kesihatan telah melancarkan Cabaran 20 Bilion Langkah Bersama – Kempen BN on the Move yang bermula dari bulan Oktober lepas sehingga penghujung tahun ini.

    Pada masa ini, lebih daripada 67,000 pengguna telah mengikuti cabaran ini dan hampir 14 bilion langkah telah dicapai di mana para pengguna aplikasi BruHealth mengemas kini langkah mereka di aplikasi tersebut setiap hari.

    BN on the Move merupakan kempen khusus bagi pelan promosi kesihatan untuk memberigakan salah satu ciri baharu dalam aplikasi BruHealth di mana pelancaran kempen ini menandakan permulaan bagi cabaran 1 Bilion Langkah Bersama yang bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat melalui berjalan kaki atau meningkatkan tahap kegiatan fizikal melalui aktiviti-aktiviti senaman yang dapat meningkatkan jumlah langkah setiap hari sama ada secara perseorangan atau secara berkumpulan.

    Kempen BN on the Move dan cabaran 1 Bilion Langkah Bersama mula dilancarkan pada 14 Ogos 2022 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien yang menyaksikan cabaran tersebut disertai oleh lebih 43,000 peserta dan ia telah dicapai dalam masa lapan hari 3 jam dan 41 minit iaitu satu masa yang lebih pendek dari tempoh satu bulan dalam jangkaan awal.

    Baru-baru ini telah diadakan acara penyampaian hadiah untuk pemenang khusus bagi bulan Oktober untuk Cabaran 20 Bilion Langkah Bersama – Kempen BN on the Move di Atrium, Pusat Promosi Kesihatan. Salah seorang pemenang cabaran yang mencapai matlamat langkah harian berkenaan ketika ditemui pada acara penyampaian hadiah tersebut, Dayang Siti Nursyarina binti Awang Basar mengongsikan perasaan terujanya apabila mendapat tahu bahawa dirinya terpilih untuk memenangi hadiah pada hari tersebut.

    Dayang Siti Nursyarina semasa menerima hadiah kerana mencapai matlamat langkah hariannya.
    BN on the Move merupakan salah satu ciri pengurusan kesihatan dalam aplikasi BruHealth, yang diharapkan dapat menggalakkan orang ramai untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat.

    Antara peserta yang mengikuti cabaran 1 Bilion Langkah Bersama yang dilancarkan pada 14 Ogos lalu di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien. – Gambar fail

    “Saya begitu tidak menyangka akan kemenangan pada hari ini kerana saya hanya mengikuti Cabaran 20 Bilion Langkah Bersama – Kempen BN on the Move untuk mengekalkan gaya hidup sihat dengan memperbanyakkan lagi pergerakan dalam aktiviti harian saya.

    “Di samping itu melalui cabaran ini, saya juga menjadi lebih bersemangat untuk melakukan riadah terutama sekali pada waktu hujung minggu bersama ahli keluarga dan rakan saya termasuklah dengan melakukan riadah berjalan kaki, berjoging dan yang seumpamanya.

    “Saya berharap lebih ramai orang di luar sana tampil dan menyahut cabaran ini bagi sama-sama mencapai matlamat 20 bilion langkah menjelang penghujung tahun 2022 ini.

    “Pada masa yang sama, saya turut berharap agar orang ramai dapat meningkatkan gaya hidup sihat dengan cara melakukan riadah bersama-sama kaum keluarga, sahabat handai mahupun secara persendirian di masa lapang,” tambahnya.

    Kajian telah menunjukkan bahawa berjalan dan aktiviti fizikal boleh menyebabkan kehilangan berat badan, meningkatkan toleransi glukosa, dan mengurangkan tekanan darah. Gaya hidup yang kurang aktif dipercayai boleh memberi kesan negatif kepada badan termasuklah menjadikan sistem imun tidak berfungsi dengan baik, peredaran darah lemah, lemah pada tulang, kehilangan kekuatan, ketahanan otot dan banyak lagi.

    Pada masa yang sama, amalan gaya hidup yang tidak aktif juga boleh menjadi penyebab kepada berlakunya banyak penyakit kronik atau penyakit tidak berjangkit dan meningkatkan risiko menghidap beberapa penyakit jika tidak melakukan senaman secara berkala.

    Pada hujung minggu, kita juga boleh menggunakan peluang melakukan riadah bersama keluarga dan rakan semasa program Bandarku Ceria di ibu negara di mana banyak aktiviti disediakan dan disusun untuk dimeriahkan bersama selain menghidupkan lagi suasana Bandar Seri Begawan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...