Saturday, September 28, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersama merayakan hari sukan sekolah

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 22 MEI – Pelajar Sekolah St John menikmati hari-hari yang penuh dengan keseronokan ketika sekolah itu menganjurkan acara sukan tahunan mereka pada 11 dan 18 Mei di dewan serba guna sekolah dan kawasan sekitar sekolah berkenaan.

    Hari Sukan Mini telah diadakan pada 11 Mei untuk murid-murid tadika hingga Tahun 4 manakala Hari Sukan Besar telah diadakan pada 18 Mei untuk murid-murid Tahun 5 hingga Tahun 11.

    Kedua-dua acara dimulakan dengan perarakan besar di mana para pelajar dengan bangganya mengibarkan bendera rumah masing-masing yang terdiri daripada Rumah Biru, Hijau, Kuning dan Merah.

    Semasa Hari Sukan Mini, persembahan Tarian Keceriaan dan Aerodance telah diadakan, yang menyemarakkan semangat persaingan. Ini diikuti dengan sesi memanaskan badan, Zumba yang sangat menyeronokkan di mana semua orang turut serta, bergerak mengikut irama lagu Poco Poco.

    Semua ahli rumah di peringkat tadika dan rendah bertanding dalam beberapa permainan berganti-ganti.

    Antara persembahan yang diadakan pada hari sukan berkenaan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Salah seorang pelajar mengambil bahagian dalam pertandingan pada Hari Sukan berkenaan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Daripada larian bola berganti-ganti yang biasa dan perlumbaan air hinggalah ke permainan mengumpul telur dan cabaran mengisi botol, pagi tersebut penuh dengan keseronokan dan semangat, dengan ibu bapa dan tetamu bersorak ketika para pemain berlari menuju ke garisan penamat.

    Sementara itu, Hari Sukan Besar untuk murid-murid Tahun 5 hingga 11 turut menampilkan pelbagai permainan berganti-ganti yang menyeronokkan seperti Move the Candies dan Lava Walk untuk Tahun 5 dan 6. Acara kemuncak pada pagi itu ialah perlawanan-perlawanan peringkat akhir dan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi acara badminton, bola jaring dan bola keranjang.

    Permainan pertunjukan bola keranjang dan bola jaring bagi ibu bapa dan guru turut diadakan bagi menggalakkan penyertaan dan membantu memeriahkan lagi hari sukan tersebut.

    Acara diakhiri dengan jumlah markah dari kedua-dua hari dikira, di mana Rumah Hijau diumumkan secara rasmi sebagai juara keseluruhan.

    Pengetua sekolah, Dr Teh Keng Watt dan Pengerusi Lembaga Pengarah, Lee Yin Fah, mengucapkan tahniah kepada mereka sebagai juara hari sukan tahun ini. Turut hadir ialah ahli lembaga pengarah sekolah, Alex Song.

    Pihak sekolah merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa dan penjaga, serta guru-guru dan pelajar sekolah kerana telah bersama-sama merayakan semangat kesukanan dan pertandingan yang menyeronokkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda