Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersama meriahkan Hari Jantung Sedunia

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Hari Jantung Sedunia disambut pada 29 September setiap tahun dan menjadi satu platform bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai penyakit jantung serta mengingatkan bahawa penyakit kardiovaskular dapat dicegah dengan mengambil langkah-langkah terhadap faktor risiko penyakit jantung.

    Pada tahun ini, Hari Jantung Sedunia 2019 membawa tema, Jantung Ku, Jantung Mu dan bagi menyokong sambutan tersebut, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Gleneagles JPMC menganjurkan beberapa acara bagi memeriahkannya.

    Salah satu acara tersebut adalah Acara Berjalan, Berlari dan Berbasikal (Walk, Run & Cycle) yang akan berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan pada 29 September nanti semasa Program Bandarku Ceria.

    Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Perubatan Kanan, Pusat Promosi Kesihatan, Dr Siti Rosemawati binti Haji Mohd Yussof semasa sidang media mengenai Acara Walk, Run & Cycle sempena Hari Jantung Sedunia 2019 di Pusat Promosi Kesihatan, hari ini.

    Pada sidang itu, Pengurus Operasi, Gleneagles JPMC, Awang ‘Izzul Hamzi bin Haji Jomari berkata penyertaan dibukakan kepada orang ramai di mana ia dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu Kategori Berjalan Kaki sejauh 1.5 kilometer dan 3 kilometer, Kategori Berbasikal sejauh 10 kilometer dan Kategori Pertandingan Berlari sejauh 11 kilometer.

    Dr Siti Rosemawati (tiga dari kanan), Awang ‘Izzul Hamzi (tiga dari kiri), Pengiran Norikhsan (dua dari kiri), Louis Loo (satu dari kiri), Awang Muhammad Yusuf (dua dari kanan) dan Awang Mohamad Halimin (satu dari kanan) bergambar ramai dengan baju kemeja T, jenama Ultron bagi Acara Berjalan, Berlari dan Berbasikal sempena Hari Jantung Sedunia 2019.

    Beliau menyatakan bagi Kategori Pertandingan Berlari 11 kilometer ia dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori lelaki dan perempuan di mana juara bagi acara berlari itu akan membawa pulang hadiah wang tunai $300 dan baucar tunai Urbanlife bernilai $50, tempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai $200 dan tempat ketiga membawa pulang hadiah wang tunai $100. Pengurus Perhubungan Awam, Gleneagles JPMC, Pengiran Noriksan Pengiran Jaya Indera Pengiran Haji Mokthar Puteh di sidang itu menyatakan bahawa bagi setiap pendaftaran, para peserta akan diberikan sehelai baju jenama Ultron, bib, pingat dan baucar serta cenderahati sempena Hari Jantung Sedunia 2019.

    Selain daripada aktiviti larian, berjalan dan berbasikal, semasa acara itu nanti, beberapa aktiviti menarik bagi seisi keluarga turut diadakan bagi memeriahkan lagi acara termasuk senamrobik beramai-ramai yang diadakan secara berjadual, demonstrasi pertolongan kecemasan, cabutan bertuah, jualan makanan sihat dan demo memasak makanan sihat.

    Sehubungan dengan itu, orang ramai dialu-alukan untuk mendaftar bagi menyertai Acara Walk, Run & Cycle dengan pendaftaran bagi acara itu bermula 5 Ogos hingga 31 Ogos di Pusat Promosi Kesihatan, Commonwealth Drive, Kementerian Kesihatan pada pukul 8.30 pagi hingga 4 petang kecuali pada Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam. Turut serta dalam sidang media berkenaan ialah Eksekutif Perniagaan, Nexploit Services, Louis Loo Kee Lee; Pegawai Pendidikan Kesihatan, Awang Muhammad Yusuf bin Haji Abdul Rahim; dan Penyelaras Perlumbaan, Awang Mohamad Halimin bin Shahbuddin.

    Dr Siti Rosemawati turut menyatakan lagi bahawa selain daripada acara berjalan, berlari dan berbasikal itu, beberapa aktiviti lain turut dirancang bagi memeriahkan lagi sambutan termasuk jerayawara di beberapa buah daerah dan forum di tempat kerja yang menumpukan pada kesihatan kardiovaskular di beberapa buah kementerian.

    Sambutan Hari Jantung Sedunia 2019 menyeru orang ramai untuk menjadi wira jantung (Make a Promise, Be a Heart Hero) dengan berjanji kepada keluarga untuk memasak dan memakan makanan yang lebih sihat dan seimbang, berjanji kepada anak-anak untuk melakukan lebih aktiviti bersukan dan membantu mereka untuk menjadi lebih aktif, mengatakan tidak pada rokok serta membantu orang yang kita sayangi untuk berhenti merokok.

    Selain itu, berjanji sebagai pakar penjagaan kesihatan untuk membantu pesakit berhenti merokok atau mengurangkan tahap kolesterol, sebagai penggubal dasar untuk melaksanakan pelan tindakan penyakit tidak berjangkit serta sebagai pekerja untuk mewujudkan tempat kerja yang sihat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda