BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat bercemar duli menyertai Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan 2017, bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara pada 26 Februari 2017 depan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, acara berkenaan adalah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33, Tahun 2017 yang bertujuan antara lain ke arah pembentukan budaya sukan dan pemantapan perpaduan menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh yang menjurus kepada pewujudan warga sihat.
Ia dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama-sama dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan, Kementerian Perhubungan dan Kementerian Kesihatan serta penglibatan daripada semua kementerian lain dan juga Persekutuan Basikal Brunei Darussalam.
Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan 2017 akan mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh 16 kilometer dan akan melintasi jalan-jalan utama antaranya Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Haji Basir, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Pusing Keliling Jalan Utama Berakas/Muara, Jalan Tasek, Jalan Kianggeh dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien yang mana penyertaannya adalah percuma.
Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi acara berkenaan yang akan bermula pada pukul 7 pagi. Orang ramai, bagaimanapun, dinasihatkan untuk datang lebih awal untuk kelancaran pelepasan kayuhan.