Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan bercemar duli menyertai Riadah Berbasikal Keputeraan 2017 bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara pada hari Ahad ini.
Acara riadah tersebut dianjurkan bersama oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kesihatan serta dengan penglibatan semua kementerian-kementerian yang lain dan juga Persekutuan Basikal Brunei Darussalam.
Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad berkata, ini memperlihatkan bahawa sukan diberi pengiktirafan, penghormatan dan galakan yang sama pentingnya dengan sektor sosial yang lain bagi mencapai matlamat pembangunan negara, perpaduan dan kestabilan yang berterusan.
Acara tersebut dianjurkan mengambil sukut baik Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-71 Tahun, yang antara lain bertujuan bagi membentuk budaya sukan dan memantapkan perpaduan menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh yang menjurus kepada perwujudan warga sihat, katanya pada satu sidang media di Dewan Bahasa dan Pustaka, di ibu negara hari ini.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Idris bin Haji Mohd Ali; Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Zafri bin Haji Mohamed; wakil dari Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas, paramedik dan juga Persatuan Basikal Negara Brunei Darussalam.
Riadah Berbasikal Keputeraan 2017 akan mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh hampir 11.5 kilometer dan akan melintasi jalan-jalan utama, antaranya Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Kianggeh, Jalan Sekolah, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Jalan Haji Basir, Jalan Sultan dan akan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Ke arah itu, KKBS mengajak rakyat dan penduduk negara ini menyertai Riadah Berbasikal Keputeraan 2017 (RBK 2017) dengan datang beramai-ramai lebih awal daripada waktu pelepasan kayuhan pada 7:30 pagi nanti.
“Sukan basikal sudah dalam jangkauan orang biasa. Maka oleh sebab itu para penggemar sukan berbasikal tidak sepatutnya melepaskan peluang beriadah pada hari tersebut.
“Kita mahu sukan dan dalam hal ini berbasikal, menjadi ‘magnet’ menarik ribuan orang dalam RBK 2017,” kata Haji Noor Jusmin.
Beliau juga menjelaskan bahawa aktiviti sukan sudah dilihat sebati dalam kalangan rakyat negara ini. Sukan digunakan oleh kerajaan sebagai satu mekanisme untuk memupuk semangat kekitaan dan mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat.
Dalam perspektif itu, Negara Brunei Darussalam adalah antara negara yang telah terbukti berjaya menggunakan sukan sebagai platform atau landasan kepada pengukuhan integrasi nasional yang melangkaui batasan agama dan bangsa.
“Matlamat kita adalah untuk menjadikan sukan sebagai satu amalan hidup yang aktif, cergas, sihat dan bersaing dalam kalangan rakyat.
“Budaya sukan ini merangkumi penyertaan dalam aktiviti sukan dan kegiatan fizikal melalui ‘Sukan Untuk Semua’ iaitu semua kegiatan fizikal yang merangkumi segala aktiviti sukan, permainan tradisional, rekreasi fizikal dan kecergasan yang berlaku secara spontan atau terurus dengan tujuan untuk menggalakkan penyertaan yang lebih luas dalam kalangan masyarakat umum, dan Sukan Prestasi Tinggi iaitu sukan pertandingan yang diuruskan mengikut peraturan dan syarat-syarat persekutuan sukan antarabangsa,” jelas beliau lagi di sidang media itu.