Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Hutan merupakan salah satu sumber alam semula jadi yang sangat bernilai di muka bumi, bukan sahaja sebagai ekosistem yang kritikal tetapi juga sebagai penyumbang utama kepada kesejahteraan manusia dan kelangsungan hidupan lainnya.
Pada tahun 2012, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara rasmi mengisytiharkan 21 Mac sebagai Hari Hutan Antarabangsa dengan tujuan memperingati serta meningkatkan kesedaran global mengenai kepentingan semua jenis hutan.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam perutusan sempena Hari Hutan Antarabangsa 2025, hari ini.
Tema untuk Hari Hutan Antarabangsa pada tahun ini ialah Hutan dan Makanan, yang mengetengahkan hubung kait antara hutan dan kepentingannya dalam menyediakan sumber makanan kepada manusia serta peranan pentingnya dalam keterjaminan makanan global.
Yang Berhormat Dato berkata hutan memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan manusia dan alam sekitar, memberikan sumbangan yang besar kepada kelestarian ekosistem dan kesejahteraan hidup.
Ini termasuk menyediakan pelbagai sumber makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran hutan, madu, cendawan dan herba, yang merupakan sebahagian daripada sumber pemakanan bagi masyarakat di seluruh dunia.
Kepelbagaian biologi hutan juga membuka peluang untuk penemuan sumber makanan baharu yang berpotensi dimanfaatkan oleh masyarakat seluruh dunia.
Selain itu, hutan juga membekalkan tumbuhan ubatan yang telah lama digunakan dalam perubatan tradisional dan semakin mendapat perhatian dalam penyelidikan perubatan moden di samping menyokong keterjaminan makanan dengan mengekalkan kesuburan tanah, mengawal hakisan dan mengekalkan keseimbangan ekosistem.
Katanya lagi, “Hutan turut memainkan peranan penting dalam mengawal iklim mikro, mengekalkan perkhidmatan ekosistem termasuk mendukung keseimbangan biodiversiti yang menjadi asas kepada kestabilan kesejahteraan persekitaran dan ekonomi.”
Walaupun bagaimanapun, tegasnya, ancaman seperti perubahan iklim, pembukaan hutan yang meluas dan eksploitasi sumber alam yang jika tidak dikawal boleh memberi kesan kepada kestabilan ekosistem hutan dan kesejahteraan alam sekitar.
Menurut Yang Berhormat Dato, laporan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) menunjukkan bahawa kadar penebangan hutan di seluruh dunia dianggarkan sekitar 10 juta hektar setahun antara tahun 2015 hingga 2020.
“Kesan daripada kehilangan hutan ini bukan sahaja menjejaskan biodiversiti tetapi juga memberi impak kepada perkhidmatan ekosistem yang mendukung bekalan makanan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Dasar Perhutanan Negara telah memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan hutan yang mampan di Negara Brunei Darussalam serta melalui pendekatan pemeliharaan dan pemuliharaan, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 yang menekankan kepentingan kelestarian alam sekitar dalam mencapai kualiti kehidupan yang tinggi.
“Dasar ini merupakan dasar yang bertanggungjawab untuk memelihara, memaju dan menguruskan sumber hutan bagi maksud pemeliharaan dan peningkatan mutu kehidupan, menggalakkan kebajikan sosial, politik dan ekonomi rakyat dan kemajuan teknologi negara serta menyediakan kemudahan persekitaran dan keseimbangan ekologi untuk jangka panjang.
“Melalui dasar ini, Negara Brunei Darussalam komited meningkatkan keluasan hutan simpan kepada sekurang-kurangnya 55 peratus daripada keluasan tanah negara, yang diklasifikasikan kepada Hutan Perlindungan, Hutan Pengeluaran, Hutan Rekreasi, Hutan Pemeliharaan dan Taman Negara bagi menjamin kestabilan ekologi serta kesejahteraan masyarakat,” jelas beliau.
Sebagai agensi utama bagi Strategi 2 (Liputan Hutan) di bawah Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Perhutanan akan terus komited dalam memelihara dan memulihara hutan di negara ini melalui Program Penghijauan dan Pemulihan Hutan yang bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kapasiti hutan sebagai penyerap karbon tetapi juga menyokong keterjaminan makanan dengan mengekalkan kesuburan tanah, sumber air bersih serta keseimbangan ekosistem yang penting.
Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, sejak 2020, secara kumulatif sejumlah 185,000 pokok telah ditanam iaitu mencapai 37 peratus daripada sasaran penanaman 500,000 pokok menjelang tahun 2035.
Walau bagaimanapun, tambahnya, pemuliharaan hutan bukanlah tugas satu pihak sahaja, malah ia memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.
“Dalam kehidupan seharian, kita boleh mengurangkan kesan negatif terhadap hutan dengan mengurangkan penggunaan bahan yang mencemarkan alam sekitar, menghargai peranan hutan dalam menyediakan perkhidmatan ekosistem seperti penyediaan makanan, penyerapan karbon dan pemeliharaan biodiversiti, sambil mendidik generasi muda tentang kepentingan pemeliharaan hutan.
Mengambil langkah-langkah tersebut akan membawa pelbagai manfaat kepada negara dan masyarakat, jelasnya, ia termasuk memastikan bekalan makanan yang mencukupi, meningkatkan kualiti udara dan air, mengurangkan kesan perubahan iklim di samping mewujudkan peluang ekonomi baharu melalui sektor perhutanan dan ekopelancongan.
“Sebagai penutup, marilah kita sama-sama berusaha untuk menjaga dan melindungi hutan kita. Kita boleh mula dengan langkah kecil seperti menyokong amalan pembangunan, pertanian dan perikanan mampan, mengurangkan pembaziran makanan dan menyertai aktiviti penanaman pokok.
“Setiap usaha yang kita lakukan hari ini akan membawa perubahan yang besar pada masa hadapan di mana hutan adalah sumber kehidupan, dan dengan memeliharanya, kita bukan sahaja melindungi ekosistem, tetapi juga memastikan bekalan makanan yang mencukupi untuk generasi masa hadapan.
“Oleh itu, marilah kita semua berganding bahu untuk menjamin masa depan yang lebih mampan dan sejahtera,” jelasnya.